
Laporan/foto: Hendry Nurdin / Mahader Lahairie / Mohd Shakir Salleh (Lahad Datu)
LAHAD DATU, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Program Info on Wheels (IOW) kekal relevan sebagai salah satu medium utama untuk menyampaikan maklumat dasar kerajaan dan kempen kesedaran awam kepada masyarakat.

Al-Aziz membaca teks hebahan awam yang disediakan oleh JAPEN berkaitan isu-isu semasa.
Di samping mempergiatkan kaedah penyampaian maklumat secara digital, perlaksanaan Program IOW melibatkan Komuniti MADANI dan agensi kerajaan dilihat mampu meningkatkan keberkesanannya terutama melibatkan penduduk luar bandar.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Bugis, Al-Aziz Tamrin, 34, berkata, pendekatan secara turun padang ini lebih berkesan dalam mendekati masyarakat terutama kepada mereka yang kurang akses kepada maklumat rasmi.
“Penglibatan Komuniti MADANI dalam IOW bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi juga menjadi pemudah cara antara masyarakat dan pihak kerajaan dalam menyuarakan keperluan serta kebimbangan mereka di peringkat akar umbi.

Al-Aziz mengedarkan risalah penerbitan bersama anggota JAPEN.
“Melalui kolaborasi ini, kami dapat membantu menjelaskan dasar kerajaan dengan lebih jelas kepada penduduk serta memberi ruang kepada mereka untuk bertanya dan memahami inisiatif yang dilaksanakan,” Katanya ketika ditemui pada program IOW khas di sekitar Daerah Lahad Datu di sini pada Jumaat.
Sementara itu, wakil pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Fahmi Ibnu Rahman, 34, percaya kaedah IOW wajar dicontohi jabatan dan agensi lain agar setiap maklumat terperinci mengenai inisiatif khasnya disalurkan dengan lebih berkesan kepada golongan sasar.
“Program IOW ini memberi peluang kepada pihak kami untuk mendekati lebih ramai golongan muda yang mungkin tidak selalu menghadiri program rasmi di masjid atau surau, sekali gus membolehkan penyampaian maklumat dilakukan secara lebih meluas dan tidak terhad kepada ceramah agama semata-mata.

Imam Fahmi turut menggunakan kemudahan unit bergerak JAPEN untuk menyampaikan maklumat berkaitan jenayah syariah.
“Kami juga dapat menjelaskan konsep sebenar dalam ajaran Islam yang menolak sebarang bentuk penipuan dan manipulasi dalam perhubungan, bagi kami, pendekatan secara bersemuka adalah yang paling berkesan dalam kempen kesedaran berkaitan isu-isu keselamatan sosial,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pegawai Penerangan Lahad Datu, Hendry Nurdin, 46, berkata, penglibatan dan sokongan badan sukarelawan dan agensi lain dalam program IOW amat dialu-alukan kerana ia membantu mempelbagaikan maklumat yang dikongsikan sekali gus memperluaskan jangkauan penyebaran maklumat.
“Ini adalah usaha berterusan pihak JAPEN untuk meningkatkan kefahaman rakyat terhadap isu-isu semasa serta melahirkan masyarakat yang lebih bermaklumat dan berdaya saing, untuk makluman program ini dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan Daerah Lahad Datu pada setiap minggu,” ujarnya.
Untuk rekod, Jabatan Penerangan Lahad Datu telah menubuhkan sembilan buah Komuniti MADANI di daerah ini dan semua badan sukarelawan ini akan terlibat secara aktif menjayakan setiap program IOW yang dilaksanakan.
-RJ-