
Laporan/foto: M Zakry Chan/Farisha Farnoh
MELAKA 22 Feb (Malaysiaaktif) – Detik bersejarah tercipta bagi negeri Melaka apabila satu lagi ikon pelancongan baharu berjaya diwujudkan menerusi perasmian Jejantas Tun Teja, semalam.
Menurut Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Jejantas Tun Teja ini bukan sekadar ikon pelancongan, namun ditambah baik bagi meningkatkan peluang peniagaan masyarakat tempatan di kawasan berhampiran jejantas ini.

Ketua Menteri Melaka ketika menyampaikan ucapan perasmian.
“Reka bentuk jejantas ini diilhamkan daripada warisan seni bina Istana Melaka, manakala nama Tun Teja pula diangkat daripada tokoh yang amat disanjungi, selain terkenal dengan kecantikan, kebijaksanaan dan keberaniannya sebagai permaisuri yang berjiwa besar dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka.
“Malah, warna-warni yang menghiasi jejantas ini juga diinspirasikan daripada bendera Melaka yang menggunakan warna merah, biru kuning dan putih,” katanya.

Gimik perasmian yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka.
Menurutnya lagi, jika di Sarawak dan Kuala Lumpur memiliki Jambatan Darul Hana serta Pintasan Saloma, Melaka juga memiliki Jejantas Tun Teja.
“Saya yakin dan percaya, pembangunan ini mampu menggamit lebih ramai pelancong domestik mahupun antarabangsa, sekali gus menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih positif dan limpahan manfaat terhadap usahawan kecil dan sederhana serta komuniti setempat.
“Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) atas inisiatif menaik taraf jejantas ini,” ujarnya.
-ZS-