
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)/Kolej Komuniti Bandar Darulaman
JITRA, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Jelajah Maker Market Kolej Komuniti 2025, di sini semalam mencipta suasana meriah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior dengan pelbagai demonstrasi inovasi dan teknologi.

Demonstrasi inovasi dan teknologi kepada para pelajar.
Program bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai dunia keusahawanan dan inovasi teknikal serta peluang pendidikan yang ditawarkan oleh Kolej Komuniti.
Menurut Pengetua Sekolah Menengah Pulau Nyior Faridah Siweng, kerjasama antara sekolah dan Kolej Komuniti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan pelajar.
CEO Maker Market Kolej Komuniti Bandar Darulaman (KKBDA) Hafizah Abdullah @ Ali, turut tampil menyampaikan taklimat khas serta sesi promosi kepada para pelajar.

Antara para pelajar yang turut hadir dalam program tersebut.
Dalam ucapannya, Hafizah menekankan kepentingan kemahiran teknikal dan keusahawanan dalam menyediakan generasi muda menghadapi cabaran masa depan.
“Kolej Komuniti bukan sekadar menyediakan pendidikan, tetapi juga melahirkan tenaga kerja mahir yang bersedia memenuhi keperluan industri.
“Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali bidang yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka,” katanya.
-ZS-