
Laporan/ Foto: Malina Jamarin/Dg Yusridah Asrin/Ag Yasri Ag Ismail (Tuaran)
TUARAN, 28 Feb 2025 (MalaysiaAktif) – Program Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai platform yang interaktif kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih mendalam tentang konsep Kenegaraan Malaysia MADANI.

Peserta diberikan pemahaman tentang Malaysia MADANI dan pengetahuan mengenai sejarah Tanah Air.
Penyampaian maklumat secara santai ini tidak hanya membincangkan asas-asas kenegaraan, tetapi juga menyentuh pelbagai isu semasa yang relevan dan mendedahkan komuniti kepada cabaran dan peluang yang dihadapi negara pada masa kini.
Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Hanavey W. Harry, 39 berkata, program bersifat kemasyarakatan ini adalah langkah proaktif untuk memupuk nilai nilai kemanusiaan iaitu kebersamaan, kesejahteraan dan kemapanan dalam membina komuniti yang lebih progresif.
“Marilah kita menyahut seruan ini dengan minda yang terbuka membina hubungan yang lebih erat dan menterjemah konsep Malaysia MADANI dengan lebih luas seperti dalam konteks keamanan, perpaduan, daya usaha dan daya saing untuk kehidupan yang lebih mapan, memperkukuh identiti jati diri sebagai rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersama-sama berusaha untuk mencapai kesejahteraan bersama dengan memupuk semangat toleransi, saling menghormati dan bekerjasama di mana program seperti ini memberi ruang untuk kita menyemai nilai-nilai murni yang akan memperkukuh lagi hubungan antara komuniti serta memperkasakan Malaysia Madani dalam setiap aspek kehidupan,” katanya.

Rusli berharap Program Jiwa@Komuniti Madani diteruskan bagi meningkatkan kefahaman dan memperkukuh perpaduan dalam komuniti.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai dan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, di sini kemarin.
Sementara itu, Ahli Komuniti Madani Pekan Tenghilan Tamparuli, Rusli Dillah, 45, yakin, program yang dianjurkan sedikit sebanyak memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali dan memahami prinsip pentadbiran negara.
“Manfaat program ini banyak, iaitu selain memberikan pemahaman tentang Malaysia MADANI, program ini juga memberi pengetahuan mengenai sejarah Tanah Air dan betapa pentingnya mengekalkan kemerdekaan berlandaskan prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai panduan untuk memastikan keamanan dan keharmonian,” katanya.

Lazilix berharap program seperti ini diperluaskan ke kawasan luar bandar untuk meningkatkan pemahaman tentang kenegaraan.
Bsgi Ahli Komuniti Kampung Simpangan Lama Tamparuli Lazilix Taipin, 46, beliau berharap bahawa program tersebut perlu diperluaskan agar pemahaman mengenai kenegaraan dapat disampaikan dengan berkesan ke peringkat akar umbi.
“Program hasil kolaborasi perkongsian strategik antara Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) ini saya rasa perlu dierluaskan lagi ke kawasan kampung mahupun kawasan pedalaman kerana pengisiannya amat penting dan memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk memahami dengan lebih mendalam tentang tanggungjawab dan peranan mereka sebagai warganegara Malaysia,”ujarnya.
Untuk makluman, program berkenaan dijayakan dengan Kerjasama Pejabat Daerah Kecil Tamparuli dan dihadiri oleh Komuniti Madani Tamparuli dan Kiulu, para belia, ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan dan Badan Bukan Kerajaan (NGOs) kawasan Tamparuli.
Antara pengisian program ialah Seminar Kenegaraan Malaysia Madani disampaikan oleh Penolong Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah, Yusnilawati Abd Asik.
-RJ-