
Laporan/foto: Muhd Sufe Fuddin (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Pelbagai barangan pertanian segar terpilih dengan harga penjimatan sehingga 30 peratus ditawarkan kepada pengguna di Jualan Agro Madani Semarak Ramadan, di sini semalam.

Gimik Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani ke-40 Peringkat Negeri Kedah.
Jualan barangan keperluan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, telur dan ikan di Pasar Tani Sungai Petani merupakan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Pasar Tani ke-40 Peringkat Negeri Kedah.
Ahli Lembaga Pengarah FAMA Dr. Mohamed Sofee Razak yuang hadir melancarkan program, berkata jualan bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat.
“Di samping mereka dapat membuat persediaan (untuk) menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba dengan harga yang sangat murah,” ujarnya.
Selain itu, set promosi Kombo Agro Madani berharga RM15.00 dengan bawang, jagung, tepung, gula, telur masin dan minyak masak paket menjadi rebutan pengunjung yang hadir.

Edaran bubur lambuk kepada pengunjung yang hadir.
Menurut salah seorang pengunjung Harith Harun, 31, Jualan Kombo Agro Madani ini sangat berbaloi.
“Produknya segar dari ladang dan secara tidak langsung program sebegini membantu golongan berpendapatan rendah untuk membeli,” katanya.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pembangunan Institusi Pemasaran FAMA Mohd Sharizan Mansor dan Pengarah FAMA Negeri Kedah Shaiful Azhar Zolkipli.
-ZS-