
Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 28 Feb (MalaysiaAktif) – Balai Seni Negara Langkawi membuka tirai 2025 dengan Program Kem Ilustrasi Botani : Rasa Alam, sebuah inisiatif yang menggabungkan seni, sains dan teknologi dalam konteks alam semula jadi.
Menurut Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) Amerrudin Ahmad program ini mengundang 24 orang artis seni lukis bagi bertukar-tukar kemahiran dalam memahami dan mengungkap kepentingan persekitaran Langkawi dalam bentuk visual.
“Sebab ini adalah fungsi kami Balai Seni Negara yang mempromosi dan menyebar luas kefahaman maklumat visual,” katanya.

Antara karya-karya seni yang dipamerkan di Balai Seni Negara Langkawi.
Pengarah Balai Seni Negara Langkawi Zaslan Zeeha Zainee pula, berkata program telah diadakan pada 18 hingga 26 Februari lalu pada awalnya disertai 14 orang peserta yang terdiri daripada pelukis atau seni lukis visual yang terkenal di Malaysia.
“Mereka datang ke Langkawi dan telah melibatkan ilustrasi botani iaitu satu genre atau bidang yang berlainan daripada kebiasaan.
“Peserta telah mengunjungi di Trail Hutan Lipur Lubuk Semilang dan Trail Jungle Valla dan melihat tumbuhan-tumbuhan yang terdapat di Langkawi,” katanya.
Katanya lagi, kebanyakan peserta adalah pakar dan mereka telah mentafsirkan kemahiran mereka dalam bidang baharu menggunakan tema tumbuhan atau botani yang terdapat di Langkawi.
“Mereka telah mengkaji tumbuhan hidup dan membuat seni visual yang dipamerkan di Balai Seni Negara Langkawi ketika ini.”
“Kami harap pameran ini dapat membangkitkan pengetahuan mendatangkan semangat atau pendidikan kepada pengunjung untuk mengetahui tentang tumbuhan yang ada di Langkawi di mana fungsi tumbuhan atau botani yang ada di Nusantara memang menjadi rutin atau satu sajian yang biasa kita nikmati,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang peserta Abu Shukran Md Salleh, 26, yang satu-satu perserta berasal dari Pulau Langkawi berkata program ini telah menyatukan seniman-seniman di Malaysia, membuka minda dan pengetahuan tentang alam di Langkawi.

Salah seorang peserta yang berasal dari Pulau Langkawi Abu Shukran Md Salleh, 26 (Berdiri dari kiri) sangat teruja kerana dapat menyertai program seumpama ini.
“Selain itu program ini amat bermakna serta dapat berkongsi pengalaman sesama pelukis muda dan tua,” katanya.
Abu Shukran yang membuat karya animasi Augmented Reality (AR) berkolaborasi bersama pelukis Rohizad Shaari dan Zaharuddin Sarbini.
“Saya menggunakan kemahiran digital animasi saya untuk karya. Karya animasi berhubung dengan karya asal.
“Boleh dilihat melalui aplikasi EyeJack di telefon pintar, ini satu gerakan teknologi terkini mengabungkan lukisan tradisional dan moden,” katanya, di sini kelmarin.
Karya-karya yang dihasilkan sepanjang program ini dipamerkan di Balai Seni Negara Langkawi bermula 26 Februari hingga 31 Julai ini.
Sebanyak 28 karya dipamerkan yang terdiri daripada 24 karya ilustrasi botani atas kertas, dua arca dan 2 animasi AR.
-ZS-