
Laporan/foto: Noor Sazarina/Syahirah Hashim (Petaling)
SUNGAI BULOH, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Kemudahan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan dimanfaatkan oleh Komuniti MADANI di daerah ini.
Menurut Pengurus NADI Kampung Kubu Gajah Mazni Idris, objektif NADI ialah merapatkan jurang digital antara kumpulan komuniti khususnya di luar bandar dan kawasan yang kurang liputan perkhidmatan.

Sesi bergambar bersama Komuniti MADANI Kampung Paya Jaras Hilir.
“NADI juga berperanan memperkasakan komuniti melalui pelbagai program latihan bagi membantu meningkatkan taraf hidup dan mengurangkan jurang sosioekonomi serta menyebarluaskan maklumat yang tepat, terkini dan betul kepada masyarakat,” katanya ketika menyampaikan taklimat berkenaan fungsi dan peranan NADI dalam program sesi libat urus Komuniti MADANI Kampung Paya Jaras Hilir bersama NADI Kampung Kubu Gajah, di sini semalam.
Pelbagai pendedahan dan inisiatif berkenaan NADI dikongsikan kepada para peserta berkenaan penggunaan teknologi Internet dan meningkatkan taraf ekonomi melalui kemudahan yang disediakan.
Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Kampung Paya Jaras Hilir Mohd Aliff Mohd Ali, berkata Komuniti MADANI merupakan penghubung kerajaan dengan masyarakat dan inisiatif-insiatif daripada kerajaan perlu disampaikan kepada akar umbi bagi manfaat bersama.

Ahli Komuniti MADANI melakukan pemeriksaan kesihatan.
“Kemudahan dan inisiatif NADI ini akan memberi kelebihan kepada masyarakat khususnya ahli Komuniti MADANI berkenaan peluang dan ruang yang diberikan oleh kerajaan dalam menaiktaraf ekonomi masyarakat melalui kemudahan teknologi.
“Program-program bermanfaat kepada rakyat perlu diteruskan dan diperkasakan sebaik mungkin,” katanya.
Antara pengisian program adalah taklimat berkenaan NADI, pemeriksaan kesihatan dan edaran bahan penerbitan.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Petaling Ruddyyansjah Mahtar Hams.
-ZS-