
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 19 Feb (MalaysiaAktif) – Majlis Penghargaan dan Penyampaian Insentif Kontinjen Negeri Pahang ke Kejohanan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 serta Anugerah NGO Sukan Massa Negeri Pahang 2024 telah disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, di sini semalam.
Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang telah berlangsung pada 22 hingga 28 September yang lalu telah menyaksikan Kontinjen Negeri Pahang berjaya membawa pulang 29 pingat keseluruhan iaitu 15 emas, lima perak dan sembilan gangsa.

Antara peserta para yang menerima insentif daripada kerajaan negeri.
Lebih membanggakan negeri Pahang apabila salah seorang atlet Pahang, Loh Chi Hui daripada acara sukan memanah kategori Recurve Individu W2/ST (W), 70m Round Recurve Team W2/ST (W), 70m Round Recurve Team (Campuran), 70m Round Recerve Individu W2/S (W) memenangi pingat emas dalam semua acara yang diwakili beliau dan berjaya merangkul gelaran Olahragawati Para SUKMA XXI Sarawak 2024.
Atlet memanah recerve Pahang berusia 35 tahun itu tersenyum puas apabila membawa pulang insentif dengan jumlah keseluruhan RM30,000.
Chi Hui, berkata dia sendiri tidak menyangka tuah memihak kepadanya pada temasya sukan tersebut.

Pahang meningkatkan sasaran pingat pada Para SUKMA di Selangor tahun hadapan.
“Pada awalnya sasaran hanya dua emas namun hasil latihan berterusan dan perjuangan bersungguh-sungguh saya berjaya meraih empat pingat emas,” katanya.
Tambahnya lagi, dengan insentif yang diterima ini membakar semangat untuk sasaran emas SUKMA ke-22 di Selangor pada tahun hadapan.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang Fadzli Mohamad Kamal.
-ZS-