
Laporan/foto: Mohd Hafiz Mat Nor (Sabak Bernam)
SABAK BERNAM, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia Negeri Selangor Mohd Najwan Halimi menegaskan komitmen kerajaan negeri memerangi penyalahgunaan dadah sintetik terutamanya dalam kalangan belia.
Katanya, Menteri Besar Selangor telah melantiknya mengetuai Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Selangor dan akan berkerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menjayakan misi berkenaan.

Penyerahan Bendera SKUAD kepada Mohd Najwan sebagai simbolik perasmian.
“Matlamat kita sama memberi kesedaran tentang bahaya dadah, khususnya jenis sintetik yang semakin menjadi pilihan penagih.
“Contoh terbaharu adalah kejadian di Setia Alam, di mana seorang lelaki di bawah pengaruh dadah menembak orang awam membuktikan dadah merosakkan individu, keluarga, dan masyarakat,” jelasnya.
Mohd Najwan berkata demikian ketika merasmikan Karnival ‘Tak Payah, Taknak’ yang berlangsung di Dataran Pantai Batu 23, Sungai Nibong, di sini kelmarin.
Jelasnya, dadah bukan sahaja meruntuhkan masa depan belia tetapi juga memecah-belahkan keluarga.
“Anak sanggup memukul ibu bapa, adik-beradik bergaduh, hingga ada yang sanggup membunuh atau merompak demi mendapatkan dadah.
“Tanggungjawab ini bukan terletak pada kerajaan atau agensi sahaja tetapi semua pihak, mulai daripada keluarga, komuniti, sehingga ke peringkat daerah,” ujarnya.

Sembang Santai bersama Pengarah AADK Negeri Selangor, Aril Pilus dan Penerbit Tiga Adiwira.
Sementara itu, Pengerusi Skuad Anti Dadah Selangor Muhammad Hanafi Jalalludin, mengumumkan siri karnival ‘Tak Payah, Tak Nak’ yang akan menjelajah ke sembilan daerah di Selangor.
“Karnival ini bertema penolakan terus terhadap dadah dimulakan di Sabak Bernam hari ini.
“Seterusnya ke Hulu Langat, dan seluruh daerah lain dengan sasaranya mewujudkan komuniti bebas dadah,” katanya.
Menurutnya, program tersebut melibatkan kolaborasi strategik antara agensi kerajaan, swasta dan komuniti setempat bagi meningkatkan pendidikan pencegahan dadah.
“Kita akan beri penerangan berterusan bukan sekadar melalui ceramah, tetapi aktiviti interaktif yang mendekati rakyat, terutamanya belia,” ujarnya.
-ZS-