
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan Selangor menyerahkan sumbangan berjumlah RM561,000 kepada 61 buah kuil di negeri berkenaan sempena sambutan Thaipusam tahun ini.

Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan kepada rumah-rumah ibadat selain Islam di Selangor – Amirudin
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan tumpuan kepada rumah ibadat selain Islam.
“Sumbangan ini untuk pastikan setiap penganut agama masing-masing dapat melaksanakan kepercayaan mereka dengan sempurna.
“Ini bertepatan dengan prinsip Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada tuhan sebagai asas yang mengikat rakyat di negara ini,” katanya.

Amirudin menyampaikan cek sumbangan kepada salah seorang jawatankuasa kuil
Beliau berkata demikian ketika Sambutan Thaipusam peringkat Negeri Selangor 2025 di perkarangan Kuil Batu Caves, di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan dan EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman.
Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua memaklumkan setiap tahun kerajaan negeri juga memperuntukkan lebih RM26 juta membantu sekolah jenis kebangsaan dan sekolah rakyat.
“Selangor juga berbelanja untuk melaksanakan perayaan dan program seperti Ponggal, Deepavali dan Thaipusam untuk masyarakat Hindu.
“Di samping melaksanakan program menuju bulan Ramadan untuk umat Islam, sambutan Tahun Baharu Cina atau perayaan Krismas,” jelasnya.
-AA-