
Laporan/foto: Fauziah Abdul Wahab (Yan)
YAN, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Koleksi replika jerami gergasi menjadi tarikan pengunjung ke Karnival Jerami Negeri Kedah 2025 yang berlangsung selama tiga hari mulai 21 Februari lalu hingga semalam.

Replika jerami gergasi menjadi tarikan para pengunjung.
Bertempat di Kampung Teroi, di sini, karnival bertujuan untuk mempromosikan jerami kepada orang ramai serta memperkenalkan projek-projek jerami di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Pelbagai aktiviti menarik disediakan khusus untuk pengunjung seperti menunggang kuda, ATV Jerami, Demonstrasi Wau, Petting Zoo, Jualan Agro Madani dan banyak lagi.
Menurut Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Dr. Ismail Salleh, karnival ini merupakan acara tahunan selepas selesai musim menuai padi.
“Sebelum ini selepas proses menuai padi, jerami akan dibakar, namun kini ianya mampu membantu para petani bagi mendapatkan pendapatan sampingan,” ujarnya, di sini semalam.

Sebahagian para pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar sebagai kenangan.
Seorang pengunjung, Zainah Ismail, 45, dari Sungai Petani, berkata dia datang ke karnival itu bersama rakannya bagi melihat sendiri keindahan dan juga kreativiti pembinaan replika jerami.
“Replika di sini sangat cantik, menarik dan juga sangat kreatif,” katanya.
Orang ramai yang hadir dilihat tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan dengan replika jerami gergasi ini.
-ZS-