Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Kursus Kemahiran Kopi Bantu Usahawan Luar Bandar Jana Pendapatan

By 20 Februari 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Municca Kiat (Ranau)

RANAU, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Kursus Kemahiran Membuat Pelbagai Minuman Berasaskan Kopi Siri 2 memberikan peluang kepada para peserta untuk meneroka bidang perniagaan, sama ada secara kecil-kecilan atau secara komersial pada masa hadapan.

Wakil Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) yang juga Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Latihan Pembangunan dan Masyarakat merangkap Ketua Penyelaras program, Alfian Robert, 37, berkata objektif utama kursus ini adalah selaras dengan misi KPLBS dalam menyejahterakan masyarakat luar bandar melalui inisiatif pembasmian kemiskinan serta melahirkan usahawan yang berjaya.

1. Alfian ketika berucap mewakili KPLBS dalam Majlis Penutupan Kursus Kemahiran Membuat Pelbagai Jenis Minuman Berasaskan Kopi Siri 2.

“Dalam dunia keusahawanan, kemahiran dan kreativiti dalam menyediakan produk yang berkualiti serta memenuhi permintaan pasaran merupakan faktor utama. Salah satu perniagaan yang semakin berkembang pesat dan mempunyai permintaan tinggi ialah minuman berasaskan kopi yang berkualiti.

“Kursus ini bukan sekadar memberi ilmu, tetapi juga membuka peluang kepada peserta untuk menambah kemahiran dalam bidang pembuatan minuman berasaskan kopi,” katanya ketika merasmikan Kursus tersebut di Dewan Kampung Kilimu, di sini pada Rabu.

Tambahnya, kursus kemahiran ini perlu dimanfaatkan oleh setiap peserta dan jadikan kemahiran yang dipelajari sebagai titik permulaan untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

“Semoga usaha ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar yang berdaya saing, berdikari dan mampu memberi impak positif kepada keluarga serta masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu,wakil Pegawai Daerah Ranau Fazling Wati Jubili, 44, menjelaskan kursus ini mampu meningkatkan keyakinan para peserta dalam mencari peluang untuk menonjolkan diri dalam bidang keusahawanan pada masa akan datang.

“Penggemar kopi semestinya mementingkan kualiti dan rasa kopi tersebut.

Gambar kenangan para peserta yang menyertai kursus kemahiran.

“Justeru, ilmu yang diberikan oleh tenaga pengajar sepanjang kursus ini mampu meningkatkan kualiti minuman kopi setanding dengan jenama terkenal di pasaran,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang peserta kursus, Nur Hakim Abdullah Shamsul, 23, menyarankan agar anak muda pada masa kini mengambil peluang untuk mengikuti kursus kemahiran yang dianjurkan oleh kerajaan kerana ia adalah percuma dan ilmu yang disampaikan mampu membantu generasi muda untuk berfikiran lebih proaktif.

“Kami berharap agar pihak KPLBS terus menganjurkan kursus kemahiran seperti ini supaya lebih ramai anak muda dapat melibatkan diri dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Untuk makluman, seramai 20 peserta menyertai Kursus Kemahiran Membuat Pelbagai Minuman Berasaskan Kopi Siri 2 ini berlangsung selama dua hari, iaitu pada 18 hingga 19 Februari lalu.

Kursus ini dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Ranau.

-ZS-

Tinggalkan komen anda