Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Lebih 25 Tahun Menabur Bakti Sebagai Penggali Kubur

By 26 Februari 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

Sri Aman, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Bagi sesetengah orang, pekerjaan sebagai penggali kubur mungkin dianggap berat dan menakutkan.

Namun, bagi Jafarudin Kamaluddin, 48, atau lebih mesra dikenali sebagai Din, kerjaya ini bukan sekadar tugasan biasa, sebaliknya satu bentuk bakti yang penuh makna kepada masyarakat.

Din turut dibantu oleh Kariah Jawatankuasa Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu Simanggang sewaktu menjalankan Amanah.

Mencecah lebih 25 tahun bergelumang dalam kerjaya tersebut, beliau bukan sahaja dikenali sebagai penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu di sini, malah turut dikenali sebagai individu yang mengikut pelbagai kerja amal di Sri Aman.

Bercerita tentang permulaan perjalanan hidupnya dalam bidang ini, Din berkata segalanya bermula hanya kerana perasaan ingin tahu.

“Sebenarnya minat ini bermula sejak sekolah rendah lagi dan bermula dengan mengiikut orang ke kubur apabila terdengar berlaku kematian dan disebabkan rasa ingin ambil tahu, maka saya ringankan mulut bertanya orang yang lebih berpengalaman,” katanya semalam.

Mengakui zaman remajanya agak nakal, Din berkata penglibatan dalam kerja sukarelawan pengurusan jenazah mengubah dirinya menjadi individu yang lebih baik dan matang.

“Ketika zaman remaja, saya boleh dikategorikan sebagai agak nakal di mana selalu keluar melepak dengan kawan, keluar pagi dan balik pagi tetapi kerja ini banyak ubah saya agar lebih dekat dengan Tuhan dan sedar tentang hakikat kehidupan,” luahnya penuh keinsafan.

Sepanjang lebih dua dekad berkhidmat, Din tidak terlepas daripada pengalaman yang sukar dilupakan dan antaranya adalah kejadian aneh yang pernah terjadi ketika dia sedang menjalankan tugas.

Sentiasa bersedia untuk menggali kubur bila-bila masa khidmatnya diperlukan.

“Bagi penggali kubur, ternampak kain putih itu perkara biasa tetapi satu hari, masa tengah mencangkul, tiba-tiba ada air mengalir di kiri dan kanan liang disertai bau yang sukar digambarkan,” katanya sambil menambah beliau teruskan saja kerja sambil berdoa.

Namun, apa yang paling meruntun hatinya adalah apabila terlibat menguruskan jenazah bayi.

“Pernah satu hari saya mengali kubur untuk dua bayi yang meninggal dunia pada hari sama dan perasaan itu sukar digambarkan dan sedih sangat membuatkan saya selalu terfikir betapa singkatnya hidup dan betapa kita ini hanya menumpang di dunia,” ujarnya sebak.

Kisah Din adalah cerminan kepada realiti kehidupan yang sering kali terlepas pandang.

Kerjayanya mungkin tidak glamor, namun jasanya kekal abadi dalam setiap nisan yang terpacak dan setiap tanah merah yang menutupi jasad insan tersebut.

-RJ-

Tinggalkan komen anda