
Laporan/foto: Lina Shukri (Perak)/Mohamad Fadil
TANJONG MALIM, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Mohamad Fadil Mohamad Ramli, 24, anak jati Bagan Serai mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Wacana Intelek sekali gus menjadi inspirasi kepada belia Perak dalam bidang kepimpinan.
Menurut Fadil yang juga Yang Dipertua Sekretariat Himpunan Anak Darul Ridzuan (SHADR) Sidang 2023/2024 dan mahasiswa Fakulti Sains Kemanusiaa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), anugerah ini mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang pelajar yang menonjol dalam bidang kepimpinan dan intelektual.

Fadil ketika menerima Anugerah Kepimpinan Wacana Intelek.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak kerana telah memberikan sokongan serta dorongan sepanjang perjalanan ini.
“Terima kasih khususnya kepada SHADR yang telah menyediakan platform bagi saya untuk mengembangkan bakat dalam kepimpinan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Fadil turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu belia di negeri Perak yang perlu lebih terbuka dengan intelektual dan diberi peluang untuk menonjolkan diri mereka.
“Generasi muda di Perak perlu diberi lebih banyak peluang untuk terlibat dalam program-program yang dapat meningkatkan pemikiran kritis dan kreativiti mereka.
“Kita perlu membina generasi yang tidak hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam aspek kepimpinan, pemikiran yang kritis dan berani berinovasi,” ujarnya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin turut berbangga dengan pencapaian Fadil.
Dalam pada itu, beliau memuji sokongan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Perak dalam membantu para belia khususnya dari segi kewangan melalui skim pinjaman dan geran untuk membantu belia memulakan perniagaan atau meneruskan pengajian tinggi.
Fadil berharap kejayaannya dapat menjadi inspirasi kepada belia di Perak untuk menjadi pemimpin serta pelapis yang cemerlang demi masa depan negara.
Terdahulu, Anugerah Keterampilan Pelajar (AKP) UPSI 2024 telah diadakan di The Pearl Hotel, Kuala Lumpur pada 18 Februari lalu bagi mengiktiraf pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan, inovasi, kesukarelawanan, sukan dan kebudayaan.
-ZS-