
Laporan/foto: Muhammad Azrul Hafiz Mohamad Nazri/Muhaimin Musa
KUALA LUMPUR, 19 Feb (MalaysiaAktif) – Majlis Memperingati Yang Teramat Mulia (YTM) Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Memorial Tunku Abdul Rahman, di sini semalam bertujuan untuk menghargai jasa dan sumbangan beliau sebagai Perdana Menteri pertama dan Bapa Kemerdekaan Malaysia.
Majlis yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau legasi Tunku dalam perjuangan kemerdekaan, pembangunan ekonomi dan perpaduan negara.

Cenderamata daripada Perdana Menteri kepada cucu Almarhum Tunku Abdul Rahman.
“Saya hanya ingin menggesa rakan-rakan, rakyat negara ini terutama generasi muda dan anak-anak supaya memahami bahawa negara ini tertegak dengan prinsip-prinsip dan tunggak perlembagaan yang jelas tetapi dari awal menerima kenyataan budaya yang rencam, kaum yang pelbagai dan wilayah yang berbeda tetapi semangat kesatuan mengangkat martabat malaysia sebagai satu negara yang maju dan makmur,” kata Anwar.
Katanya, sosok peribadi Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj yang sederhana mampu menawan hati rakyat semua kaum di negara ini amat sukar dicari ganti.
“Tokoh negara ini sejak sebelum dan selepas kemerdekaan merupakan seorang tokoh dan negarawan yang mampu mencuit perasaan, menggamit hubungan seluruh kaum di negara.
“Segala pesan dan mesej yang konsisten, tuntas, sepanjang berabad-abad mengharungi liku-liku perjuangan menentang penjajahan inggeris, menuntut kemerdekaan, berunding dengan bijak, dengan lucu, menawan hati rakyat dan utamanya Sabah dan Sarawak untuk menerima keadaan bahawa masa depan Malaysia di rantau ini akan lebih terselamat kalau ada persekutuan ini,” ujarnya.
Menurutnya, kepimpinan YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang berteraskan toleransi, keadilan dan kasih sayang telah membentuk asas kukuh kepada perpaduan rakyat Malaysia pelbagai kaum, agama dan budaya.

Karikatur sempena pengistiharaan kemerdekaan di Memorial Tunku Abdul Rahman.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, menegaskan bahawa nilai-nilai perpaduan yang diperjuangkan oleh Tunku harus terus disemarakkan dalam menghadapi cabaran semasa.
Perdana Menteri turut melawat pameran di Memorial Tunku Abdul Rahman yang memaparkan sejarah penting negara, termasuk meja yang digunakan dalam pengisytiharan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.
Memorial ini dibuka pada 10 November 1994 untuk memperingati sumbangan Tunku dan orang ramai boleh mengunjungi dalam mengimbau sejarah pemimpin Malaysia.
-ZS-