
Laporan/foto: Mohd Fairus/Muhammad Abdul Hadi (Kuala Kangsar)
KUALA KANGSAR, 28 Feb (MalaysiaAktif) – Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek dan Perasmian Jambatan Enggor, Karai, di sini semalam.

Mohammad Nizar ketika berucap merasmikan majlis.
Menurut Mohammad Nizar, jambatan sepanjang tiga belas meter ini telah runtuh pada Mei 2023 akibat hujan lebat yang berterusan.
“Runtuhan yang berlaku telah menjejaskan aktiviti kira-kira 5,000 penduduk sekitar dalam menjalankan aktiviti harian selain menjejaskan industri pelancongan warisan kerana kawasan ini merupakan destinasi pelancongan utama negeri Perak.
“Pelaksanaan projek ini telah bermula pada Julai 2023 dan diluluskan peruntukannya oleh kerajaan negeri Perak bagi memulihara jambatan asal yang berusia lebih 100 tahun ini,” katanya yang hadir mewakili Menteri Besar Perak.

Mohammad Nizar menyantuni pengguna jalan raya yang menggunakan Jambatan Enggor.
Beliau turut berharap dengan pembinaan jambatan baharu yang siap sepenuhnya pada penghujung Disember tahun lalu ini dapat memberi impak positif kepada ekonomi tempatan dalam memperkasa dan memajukan sosio ekonomi masyarakat.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak Ir. Zamri Mat Kasim.
-ZS-