
Laporan/Foto: Florence anak Sebastian Unting (Sarawak)
SARATOK, 26 Feb (MalaysiaAktif) – ‘Marik empang’ atau ‘tango’ Moden semakin mendapat tempat sebagai aksesori unik yang menggabungkan elemen tradisional dengan sentuhan kontemporari.

Debra mempunyai minat mendalam dalam seni manik yang unik
Minat yang mendalam seni telah mendorong Debra Simba Jabat, 32, untuk menceburi pembuatan ‘marik empang’ atau tango’ moden sejak 2023.
“Saya mula berminat selepas melihat hasil tangan rakan di Facebook dan TikTok dan dari situ, saya belajar dengan mengikuti tutorial serta perkongsian mereka,” katanya walaupun sibuk dengan pekerjaan hakikinya sebagai Penolong Pegawai RELA, Debra tetap meluangkan masa untuk seni manik.
Pada awalnya, Debra menghadapi kesukaran memahami teknik menganyam manik dan mencari bahan sesuai namun berkat dengan kesabaran dan dorongan keluarga dia kini menghasilkan pelbagai rekaan unik dan berkualiti.
“Bahan utama seperti benang, manik pelbagai warna dan saiz mudah diperoleh dan saya juga menambah hiasan seperti syiling, burik, loceng, dan pom-pom,” jelasnya lagi ketika ditemui semalam.
Menurut Debra, beliau mampu menyiapkan satu ‘marik empang’ atau ‘tango’ dewasa dalam masa sehari manakala dua tango kanak-kanak dalam tempoh sama dan setiap rekaannya mempunyai sentuhan tersendiri yang menjadikannya istimewa.

‘Marik atau tango’ moden dihasilkan daripada benang dan manik pelbagai warna, ditambah hiasan seperti syiling, burik, loceng, dan pom-pom punyai keunikan tersendiri.
Selain ‘marik atau tango’ moden, Debra turut menghasilkan ‘selampai’ sulam, ‘tating kain’, dan ‘baju burung’ sulam yang mendapat tempahan pelanggan.
Debra yang aktif berkongsi hasil seninya di Facebook ‘Debra Jabat’ adalah platform utama bagi pelanggan melihat dan menempah krafnya.
“Saya ingin melihat seni ‘marik atau tango’ moden terus dihargai dan seni ini bukan sekadar hobi, tetapi warisan yang perlu dipelihara,” katanya lagi.
Dengan minat mendalam dan usaha berterusan, Debra membuktikan bahawa seni bukan sekadar hobi, tetapi juga mampu membuka peluang menjana pendapatan serta memperkenalkan budaya tempatan kepada masyarakat luas.
-RJ-