Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

Membakut Diisytihar Kawasan Bencana Banjir, 74 Keluarga Dipindahkan

By 11 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhd Yusrie Othman/Junaidi Wahab (Beaufort)

BEAUFORT, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Daerah Membakut dan Beaufort diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan berterusan yang menyebabkan paras air sungai meningkat.

Ariffin semasa meninjau PPS Membakut turut memeriksa barangan keperluan yang terdapat di PPS berkenaan kemarin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Ariffin Arif berkata, setakat ini, seramai 74 ketua isi rumah (KIR) daripada 14 kampung telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut.

“Hari ini, saya bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Ramlan Awang Ali menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS ini bagi daerah Membakut.

“Saya merakamkan penghargaan kepada MUIS kerana tampil membantu mangsa banjir. Sumbangan ini merangkumi wang ihsan dan bakul makanan yang akan diagihkan kepada setiap KIR,” katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Dr. Mohd Ariffin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.31 Membakut, berkata pemimpin masyarakat, khususnya pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), akan terus memantau keadaan penduduk di kawasan masing-masing.

Ariffin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk terjejas banjir di PPS berkenaan.

Beliau turut menasihatkan agar mana-mana penduduk yang perlu dipindahkan segera menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi mendapatkan bantuan.

“Saya dimaklumkan ada kawasan yang mula surut, namun terdapat juga lokasi yang masih mengalami peningkatan paras air. Kita akan terus bersiap siaga dan saya berterima kasih kepada Pegawai Daerah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, serta semua agensi yang terlibat dalam usaha bantuan ini,” katanya kemarin.

-RJ-

Tinggalkan komen anda