
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Stesen radio JOHORfm menyambut ulang tahun ke-60 bermula hari ini dengan meriah melalui pelbagai program menarik yang diadakan menerusi penganjuran Temasya 60 Tahun JOHORfm di perkarangan Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar, di sini hari ini.
Pengarah Penyiaran Negeri Johor Azman Hashim, berkata Temasya 60 Tahun JOHORfm akan dilaksanakan selama empat hari empat malam sehingga 23 Februari ini dimulakan dengan siaran secara langsung dengan beberapa stesen kembar berdekatan Johor.
“Pada hari ini juga kami akan bersiaran dengan stesen kembar kami di Indonesia iaitu stesen radio RRI Tanjung Pinang sebagai inisiatif untuk mengantarabangsakan JOHORfm bersama negara jiran.

Pelbagai aktiviti menarik untuk masyarakat setempat seperti Festival Makanan Bazar 60an dengan lebih 60 buah gerai makanan, larian ‘Fun Run Xtif’ dan konsert ‘RockDangdut’ sempena Temasya 60 Tahun JOHORfm.
“Kami maklum siaran radio JOHORfm juga didengari sehingga ke negara jiran seperti di Kepulauan Riau, Indonesia dan Singapura, jadi ini merupakan usaha kami untuk mewujudkan kembali kolaborasi bersama stesen radio berdekatan dengan negeri Johor,” katanya.
Tambah Azman, JOHORfm juga bertanggungjawab untuk sama-sama mengeratkan hubungan antara negara ASEAN terutamanya dalam bidang penyiaran selaras dengan peranan Malaysia dalam kepengerusian ASEAN 2025.
“Selain itu, penyampai radio JOHORfm juga bersiaran secara langsung bersama penyampai-penyampai radio dari NASIONALfm selama enam jam dari pukul 12 malam sehingga jam 6 pagi dalam segmen ‘Geng Burung Hantu’ di konti JOHORfm,” katanya.
Terdapat juga pelbagai aktiviti untuk masyarakat setempat seperti Festival Makanan Bazar 60an dengan lebih 60 buah gerai makanan, larian ‘Fun Run Xtif’ dan konsert ‘RockDangdut’.
-ZS-