
Laporan/Foto: Magdellina Alfred Jeho (Sarawak)
KUCHING, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Elsie Johannes, 45, pekerja kraftangan dan juga penari sambilan di Borneo Etnic Unity, menyatakan bahawa beliau mula berkecimpung secara serius dalam bidang tarian ketika dari umur 19 tahun. Menari telah menjadi minat sejak di bangku sekolah lagi.

Elsie lebih 26 tahun berkecimpung secara serius dalam bidang tarian.
Tambahnya, beliau bukan sahaja boleh menari tarian tradisional tetapi juga boleh menari dalam pelbagai jenis tarian kreatif dan kontemporari. Berkecimpung selama lebih 26 tahun berada di dalam bidang tarian telah menyimpan pelbagai pengalaman manis kepada beliau.
“Antara pengalaman manis ialah beliau dipilih untuk mengadakan persembahan di Korea bersama-sama dengan penari kebudayaan Istana Budaya dan juga persembahan di negara India bersama-sama dengan Majlis Seni Sarawak (MSS).
Selain itu, juga pernah mengadakan persembahan mewakili Sarawak dan Malaysia di Singapura, China dan beberapa negara lagi,” katanya kemarin.

Elsie ketika mengadakan persembahan di Korean Food Fair.
Bercerita mengenai cabaran dalam tarian pula, Elsie menyatakan bahawa cabaran yang susah bagi dirinya setakat ini adalah untuk mengingati beberapa langkah dalam tarian terutamanya bila melibatkan tarian kreatif dan kontemporari.
Menurut Elsie lagi, beliau berharap agar seni tarian terutamanya tarian tradisional terus dimartabatkan atau dijadikan warisan sepanjang zaman kerana jika tidak ia akan hilang begitu sahaja ditelan arus kemodenan.
-RJ-