
Laporan/foto: Azmi Abd Rahman/Mohd Fauzan Mahari
PASIR PUTEH, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Minat mendalam terhadap haiwan sejak kecil telah mendorong seorang penduduk Kampung Padang Pak Omar, Selising, di sini untuk merealisasikan impiannya dengan membuka sebuah mini zoo berkonsepkan petting zoo atau zoo haiwan jinak.
Dengan bantuan program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), Mohd Faiez Mohd Fauzi, 43, kini menguruskan ‘Di Jiwa Animal Park’, sebuah mini zoo yang menempatkan lebih 30 spesies haiwan unik termasuk ayam dan burung yang jarang ditemui di Malaysia.
“Segalanya bermula sejak kecil apabila saya dan adik suka membela ayam serta burung tempatan.

Rakun sejenis haiwan mamalia yang dikatakan berasal dari eropah, haiwan paling mahal di zoo ini.
“Lama-kelamaan jumlah haiwan yang kami pelihara semakin bertambah, lalu tercetus idea untuk membuka mini zoo ini bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat haiwan-haiwan tersebut dengan lebih dekat,” katanya.
Antara tarikan utama di mini zoo ini ialah rakun, haiwan mamalia bersaiz sederhana yang berasal dari Amerika Utara.
Dikenali kerana kebolehannya menyesuaikan diri, rakun boleh ditemui di hutan campuran, kawasan bergunung, paya air masin, malah di kawasan penempatan manusia.
Spesies ini juga merupakan haiwan paling mahal yang terdapat di Di Jiwa Animal Park.
Selain rakun, mini zoo ini turut menempatkan pelbagai spesies burung dan ayam eksotik seperti burung kuang lady amherst, kuang red atau yellow golden, kuang silver, puyuh california, ayam silkie, dan ayam cemani yang kebanyakannya berasal dari luar negara.

‘Di Jiwa Animal Park’, Mini Zoo tarikan baharu di Pasir Puteh.
Menurut Mohd Faiez, beliau berasa teruja kerana hobinya kini dapat dikongsi bersama peminat haiwan lain serta membantu merancakkan sektor pelancongan tempatan. Selain itu, usaha ini juga memberi sumber pendapatan kepada keluarganya.
“Kami berharap lebih ramai pengunjung akan datang memberi sokongan dan merasai pengalaman melihat haiwan-haiwan unik ini dengan lebih dekat,” katanya.
Dibuka secara rasmi pada 23 Februari lalu, ‘Di Jiwa Animal Park’ yang beroperasi setiap hari mengalu-alukan kehadiran orang ramai.
Bayaran tiket masuk ditetapkan pada RM10 untuk dewasa dan RM7 untuk kanak-kanak dengan kemudahan tambahan seperti kawasan permainan kereta elektrik untuk kanak-kanak serta mini kafe yang menjual makanan ringan kepada pengunjung.
-ZS-