
Laporan/foto: Fairuzan Abdul Majid/Pejabat Daerah Muar
MUAR, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Pejabat Daerah Muar dan Ibu Pejabat Polis Daerah Muar telah menganjurkan sesi taklimat umum ‘Muar Bebas Jenayah Siber’ sebagai salah satu bentuk pendidikan dan kesedaran kepada warga Muar mengenai trend jenayah siber.

Perkongsian mengenai trend terkini jenayah komersil dalam sesi ‘town hall’ Muar Bebas Jenayah Siber oleh Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz.
Pegawai Daerah Muar Zainal Eran, berkata penjawat awam perlu sentiasa berhati-hati dengan perkembangan teknologi terkini terutamanya isu berkaitan pengurusan kewangan.
“Penjawat awam dan agensi swasta diingatkan dan disarankan untuk melaksanakan tugas serta memberi mutu perkhidmatan yang terbaik selain bebas dari terbabit dengan jenayah siber,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perjumpaan Penjawat Awam Daerah Muar bertempat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini semalam.
Pada majlis tersebut, Zainal Eran turut menyampaikan penghargaan kepada jabatan dan agensi kerajaan terbaik daerah Muar bagi tahun 2024 yang telah memberi kerjasama dan melakar kejayaan sepanjang tahun.

Persembahan sketsa bertemakan Penipuan Dalam Talian oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan Kelab Kesenian Daerah Muar.
“Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua agensi yang sentiasa memberi komitmen dalam merencanakan pembangunan dan kejayaan di daerah Muar,” katanya.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz.
-ZS-