
Laporan/foto: Rezwane Md. Zabidi (Seberang Perai Utara)
KEPALA BATAS, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Tawaran perkhidmatan menarik dan percuma yang disediakan oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Bertam, menyebabkan pusat ini semakin mendapat perhatian penduduk setempat sebagai hab pembelajaran digital dan kemahiran komuniti.

Para peserta disediakan laptop bagi memastikan kelancaran sesi pembelajaran sepanjang kursus
Terbaharu, seramai 10 orang Pegawai Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bagan telah memanfaatkan kemudahan yang disediakan di sini dengan menyertai Kursus Pemantapan Microsoft selama dua hari bermula 25 Februari yang lalu.

Ruang pembelajaran yang selesa dilengkapi pendingin hawa serta skrin LCD bagi memastikan sesi pembelajaran lebih kondusif dan interaktif buat pengunjung NADI Bertam
Salah seorang peserta, Amira Ramli, 30, berkata kursus ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada perisian asas pejabat, malah membantu peserta meningkatkan kecekapan dalam dunia digital yang semakin mencabar.
“Sebagai tenaga pengajar saya perlu proaktif dalam mendalami teknologi dan bergerak seiring dengan arus digital, dengan itu saya dapat menyampaikan ilmu dengan lebih yakin dan berkesan kepada pelatih,” katanya kepada wartawan Malaysia Aktif, kelmarin.
NADI Bertam turut menyediakan pelbagai program latihan lain seperti kursus masakan, jahitan, e-pembelajaran, dan banyak lagi.
Lebih menarik setiap peserta yang menyertai kursus di sini akan menerima sijil penyertaan sekali gus menjadikannya satu nilai tambah bagi mereka yang ingin memperkasa kemahiran dan meningkatkan daya saing dalam pelbagai bidang.
-AA-