
Laporan/foto: Nur Hamizah Ilham (Kota Marudu)
KOTA MARUDU, 18 Feb (MalaysiaAktif) – Program Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bersama Komuniti MADANI merupakan salah satu inisiatif yang positif untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan mengenai manfaat teknologi dalam kehidupan seharian.
Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Tondig Mian Majimpan, berkata program ini memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk memahami dan menguasai teknologi tanpa mengira umur.

Norsiah memberi tunjuk ajar asas Microsoft Word kepada ahli komuniti Kampung Tondig.
“Program ini bukan sahaja membuka minda masyarakat tentang kepentingan teknologi, tetapi juga membantu mereka membina kemahiran asas dalam dunia digital yang semakin berkembang pesat.
“Walaupun program ini hanya menyediakan asas sebagai pengenalan, ia merupakan langkah pertama yang sangat bermakna. Jika usaha ini diteruskan, saya yakin lebih ramai ahli komuniti akan memperoleh manfaat dan mampu menguasai teknologi dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui pada program Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), di sini pada Isnin.
Sementara itu, Pengurus NADI Kampung Tandek Norsiah Saman, berkata program yang dijalankan oleh NADI memberikan impak yang amat positif dalam mengeratkan hubungan antara pihak NADI dan komuniti setempat.

Suasana program kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bersama ahli komuniti.
“Dengan adanya lebih banyak program yang bermanfaat, ia bukan sahaja memberikan peluang pembelajaran yang berguna tetapi juga meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk tentang kepentingan menjaga kesihatan.
“Oleh itu, pemeriksaan kesihatan secara percuma turut diadakan bagi memberi kesedaran kepada komuniti agar sentiasa menjaga kesihatan dan mencegah penyakit yang lain,” kongsinya.
Untuk makluman, seramai 10 orang daripada Komuniti MADANI Kampung Tondig telah menyertai program ICT serta pelbagai program dan perkhidmatan lain, seperti keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri serta kesedaran dan inisiatif yang dianjurkan oleh kerajaan.
-ZS-