
Laporan/foto: Abdul Hadi Abdul Ghani/Naif Rajamu/Asrul Affandi Saflie (Semporna)
SEMPORNA, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Masyarakat di Daerah Semporna diseru untuk memanfaatkan sepenuhnya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai platform untuk membentuk komuniti yang lebih proaktif dan inovatif.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Semporna, Mohamma Syah Kisun@Ibrahim, NADI yang diwujudkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Kampung Bubul Lama dilengkapi dengan pelbagai kemudahan digital.

Syah ketika memberikan taklimat kepada ahli Komuniti MADANI semalam.
Perkhidmatan yang disediakan di NADI jelasnya amat signifikan untuk manfaat penduduk setempat memperkasa kemahiran kendiri dalam pelbagai bidang menggunakan perkhidmatan internet.
“Dengan kewujudan NADI, ia menjadi pemangkin kepada transformasi digital di kalangan masyarakat serta memperkasa komuniti setempat melalui pelaksanaan program-program yang lebih mampan dan relevan.
“Selain menyediakan capaian internet yang lebih luas, NADI juga memberi peluang kepada masyarakat untuk mendalami teknologi baharu, meningkatkan kemahiran, dan seterusnya memacu pembangunan sosioekonomi di daerah ini,” katanya ketika ditemui di program NADI X Komuniti MADANI di Kampung Bubul Lama Daerah Semporna di sini semalam.
Sementara itu, Pengurus NADI Kampung Bubul Lama, Norsila Abdul Gan berkata, perkhidmatan pintar menerusi capaian internet yang ditawarkan juga boleh dimanfaatkan oleh masyarakat di kawasan sekitar kampung berkenaan.

Sesi taklimat dan soal jawab bersama Norsila di sini semalam.
“Perkhidmatan ini menyediakan ruang kepada komuniti untuk berinteraksi, mendapatkan maklumat terkini, serta mengasah potensi diri dalam pelbagai bidang, termasuk keusahawanan dengan memanfaatkan teknologi terkini.
“Program hari ini bukan sahaja berperanan mempereratkan hubungan silaturahim, tetapi juga menjadi platform untuk Jabatan Penerangan Negeri Sabah mempromosikan maklumat kerajaan secara meluas. Saya berharap program ini akan memberi impak yang positif kepada peserta yang hadir,” jelasnya di sini semalam.
Dalam pada itu, ahli Komuniti MADANI Kampung Bunga, Adam Tahing, 58, memberitahu, agar program seumpamanya dapat diperbanyakkan melibatkan lebih ramai komuniti di kawasan luar bandar.
“Pemusatan jabatan dan agensi kerajaan dalam program sebegini memberi peluang kepada rakyat untuk memperoleh maklumat secara terus daripada sumber yang sahih, program ini kalua diadakan di kampung-kampung adalah lebih baik dan lebih berkesan,” kongsinya.
-RJ-