
Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 23 Feb (Malaysiaaktif) ā Penubuhan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menjadi platform utama untuk memberi peluang kepada Komuniti MADANI meningkatkan kemahiran sekali gus membuka jalan keusahawanan yang lebih cerah.
Ketua Komuniti MADANI Gong Baru Mohd Hanafiah Ismail, yang ditemui selepas program latihan keusahawanan, di sini kelmarin berkata inisiatif NADI sangat bermanfaat dalam mengasah bakat dan kemahiran masyarakat setempat.

Peserta-peserta daripada Komuniti MADANI Gong Baru berpeluang belajar menghasilkan biskut red velvet soft.
“Salah satu contoh, hari ini peserta diberi peluang untuk belajar menghasilkan biskut red velvet soft yang diyakini mampu mendapat sambutan hangat.
“Keupayaan menghasilkan produk berkualiti mampu menarik perhatian ramai. Selain itu, ini juga merupakan peluang besar untuk menjana ekonomi dan meningkatkan pendapatan komuniti,” jelasnya.
Selain kemahiran pembuatan produk, Mohd Hanafiah turut menekankan pentingnya pembelajaran berterusan dan kreativiti dalam pemasaran produk agar dapat bertahan dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Penyelaras NADI Chendering Rabiatul Adawiyah Hashim, menambah bahawa NADI bukan sekadar pusat penyebaran maklumat, tetapi juga pusat sehenti yang menyediakan pelbagai program untuk komuniti.

Para peserta tekun dalam menghasilkan biskut red velvet soft.
“Program-program ini termasuk urusan pencarian maklumat, pembelajaran dan pengajaran dengan fokus khusus pada kemahiran berasaskan ICTĀ (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) dan kesedaran keselamatan dalam talian.
“Komuniti MADANI dapat memanfaatkan pelbagai topik perkhidmatan pintar yang ditawarkan NADI berdasarkan keperluan setempat,” katanya.
Menurutnya, ini adalah satu langkah positif dalam memperkasa komuniti untuk mencapai kejayaan.
“Dengan inisiatif ini, komuniti setempat kini berpeluang lebih besar untuk memajukan diri dalam bidang keusahawanan serta memperkasa ekonomi mereka secara keseluruhan,” katanya.
-ZS-