
Laporan/foto: Abdul Hadi Abdul Ghani/Naif Rajamu(Semporna)
SEMPORNA, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Program NADI x Komuniti MADANI memberi peluang kepada masyarakat untuk memanfaatkan kemudahan yang ditawarkan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), termasuk program latihan keusahawanan dan pembangunan kemahiran digital.
Inisiatif ini bertujuan memperkasakan kemahiran asas individu yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan peluang ekonomi komuniti setempat melalui akses kepada maklumat dan latihan yang relevan.
Ketua Kluster NADI Semporna Norsila Abd. Gaim, berkata program ini merupakan platform kolaboratif antara Komuniti MADANI, Jabatan Penerangan (JAPEN) dan NADI dalam usaha memperkenalkan fungsi serta peranan pusat berkenaan kepada masyarakat setempat.

Juhara (kiri) mengedarkan risalah kepada AJK Komuniti MADANI Mentaritip, Semporna.
“Inisiatif ini membolehkan komuniti memperoleh akses kepada maklumat serta pelbagai latihan kemahiran, termasuk keusahawanan digital bagi membantu mereka meningkatkan taraf hidup dan memperkasakan diri dalam pelbagai bidang.
“Kita ingin memastikan setiap individu mendapat peluang untuk menimba ilmu dan kemahiran baharu yang relevan dengan keperluan semasa,” katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, wakil Pegawai Penerangan Daerah Semporna Juhara Ali Omar, menambah penganjuran kursus pembelajaran digital dan sesi latihan keusahawanan yang diadakan merupakan antara inisiatif untuk memastikan masyarakat terus peka dengan perkembangan teknologi.
“NADI juga berperanan memperkasakan komuniti melalui pelbagai program latihan bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
“Sasaran kursus ini adalah sebagai usaha strategik antara JAPEN dan NADI dalam merangka pelan tindakan bersama bagi memperkasakan komuniti setempat dan luar bandar dengan kemahiran digital yang selaras dengan tuntutan era moden,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta daripada Komuniti MADANI Kampung Selakan Kasan Abdul Hakim, 50, berkata NADI banyak membantu usahawan kecil khususnya golongan berpendapatan rendah sepertinya untuk meningkatkan kualiti perniagaan.

Juhara (tiga dari kanan) bersama ahli Komuniti MADANI Bugaya dalam program NADI x Komuniti Kampung Bugaya, Semporna.
“Program NADI ini banyak membantu saya sebagai usahawan kecil, terutama dalam mempelajari kaedah pemasaran produk secara dalam talian yang sangat penting dalam dunia perniagaan kini.
“Selain itu, penyediaan saringan kesihatan secara percuma juga amat membantu kami untuk menjaga kesihatan dengan lebih baik dan ini bukan sekadar peluang untuk komuniti setempat, bahkan untuk anak-anak muda di Pulau Bum-Bum dan tanah besar serta golongan dewasa yang ingin menambah ilmu dan kemahiran,” ujarnya.
Untuk makluman, program tersebut diadakan serentak di beberapa lokasi berbeza melibatkan NADI Pulau Bum-Bum, NADI Kampung Tagasan, NADI Kampung Bugaya dan NADI Kampung Mentaritip.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sembang santai, edaran risalah, ceramah, serta hebahan mengenai isu-isu semasa.
Selain itu, program ini juga menyediakan saringan kesihatan dan pendaftaran MyDigital ID bagi memberi manfaat kepada peserta.
-RJ-