
Laporan/Foto: Kamarulzaman Ahmad (Sarawak)
DALAT, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Pasar Sabtu di pekan Dalat terus menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong dari kawasan sekitar, menawarkan pelbagai barangan segar, makanan tradisional, dan produk kraftangan yang unik.
Beroperasi setiap hari Sabtu sejak sekian lama, pasar ini bukan sahaja menjadi pusat ekonomi kecil, malah juga tempat pertemuan masyarakat setempat.

Mohamad Kaderi pengunjung setia Pasar Sabtu di Pekan Dalat.
Bermula sekitar jam 7 pagi lagi pengunjung sudah ramai datang untuk menikmati suasana di Pasar Sabtu ini.
Menurut seorang pengunjung setia, Mohamad Kaderi Abdul Razak, 64, beliau sering datang ke pasar ini untuk mendapatkan bahan makanan segar.
“Saya lebih suka membeli sayur-sayuran dan ikan di sini kerana lebih murah dan segar berbanding di kedai biasa. Selain itu, suasana di pasar ini sangat meriah, membuatkan pengalaman membeli-belah lebih menyeronokkan,” katanya semalam.

Siti penggemar kuih-muih tradisional yang dijual di Pasar Sabtu, Pekan Dalat.
Seorang lagi pengunjung, Siti Hajar Aisyah Abdullah, 36, berkata pasar tersebut adalah tempat terbaik untuk mencari kuih-muih tradisional Sarawak seperti kuih penyaram dan celorot.
“Selain itu, saya juga dapat berjumpa dengan rakan-rakan dan bertukar cerita sambil membeli-belah,” ujarnya.
Dari sudut peniaga pula, pasar Dalat memberikan peluang keemasan kepada usahawan kecil dan menurut salah seorang peniaga, Kaderi Seliew, 71, yang menjual ikan segar dan hasil laut, menyatakan bahawa pendapatan mingguannya bergantung kepada jualan di pasar tersebut.

Kaderi bersyukur kerana dapat berniaga di Pasar Sabtu sebagai sumber pendapatan.
“Alhamdulillah, Pasar Sabtu ini membantu saya mencari rezeki. Ramai pelanggan tetap datang membeli ikan dari saya kerana mereka tahu saya hanya menjual barang yang berkualiti,” katanya.
Pasar Sabtu Dalat bukanlah pasar biasa memandangkan ia juga platform bagi penduduk tempatan untuk memasarkan produk mereka, sekali gus meningkatkan ekonomi setempat.
Dengan pelbagai produk unik dan suasana yang meriah, Pasar Sabtu Dalat sememangnya destinasi yang wajar dikunjungi bagi mereka yang ingin merasai pengalaman budaya dan tradisi masyarakat setempat.
-RJ-