
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/PMJB (Johor)
JOHOR BAHRU, 25 Feb (MalaysiaAktif) – Lebih kurang 300 sukarelawan termasuk pelajar-pelajar Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB) menyertai Program Southern Volunteers Go Green yang berlangsung di Sungai Tebrau, Kampung Bakar Batu, di sini kelmarin.

Hasil kutipan sampah yang berjaya dikutip oleh sukarelawan dari Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB).
Pengarah PMJB Dr Supa’at Zakaria @ Jawahir, berkata program gotong-royong ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar melalui aktiviti pembersihan sungai dan kawasan sekitar.
“Kehadiran pelajar-pelajar PMJB hari ini dapat menyemai semangat mereka untuk sentiasa berbakti kepada masyarakat dan alam sekitar menerusi aktiviti kemasyarakatan seperti ini.
“Menteri Besar Johor sendiri sering menekankan bahawa penjagaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan beliau yakin Johor mampu menjadi negeri contoh paling bersih di Malaysia,” katanya ketika ditemui bersama pelajar-pelajar PMJB sedang membersihkan pesisiran pantai Sungai Tebrau.

Pengarah Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB), Dr Supa’at Zakaria@Jawahir bersama pelajar-pelajar PMJB yang menjadi sukarelawan menjayakan Program Southern Volunteers Go Green Peringkat Negeri Johor 2025.
Tambah Dr Supa’at, sepanjang program berlangsung pelajar-pelajar PMJB juga telah menunjukkan komitmen tinggi dalam aktiviti pembersihan selain mencerminkan semangat kesukarelawanan yang kuat.
“Program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektifnya tetapi juga mengukuhkan nilai keprihatinan dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pengarah PMJB Hamidah Ab Rahman.
-ZS-