
Laporan/foto: Elyas Hisyam Mat Zin/Muhammad Zayed Barak
KUALA LUMPUR, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai kira-kira 4,600 penerima di sekitar Parlimen Titiwangsa hadir di Dewan Yayasan Bena Nusa, Taman Maluri untuk menerima bantuan wang tunai dan beg sekolah di Program Sumbangan Kembali ke Sekolah 2025 anjuran Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa.

Johari menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima bantuan Kembali ke Sekolah 2025
Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pendidikan anak-anak sangatlah penting dan mana-mana keluarga yang terdiri dari golongan B40 ataupun M40 perlu mengutamakan pendidikan terhadap anak-anak mereka.
“Program ini saya laksanakan setiap tahun sebagai simbolik dan peringatan kepada saya serta rakan-rakan saya betapa pentingnya pendidikan di kalangan masyarakat dan ibu bapa sebagai senjata utama untuk keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.

Suasana kaunter pendaftaran bagi Program Sumbangan Kembali ke Sekolah 2025 Parlimen Titiwangsa
Beliau juga berharap pada masa akan datang nanti ada di antara penerima-penerima bantuan yang berjaya di dalam kehidupan mereka dapat kembali semula ke kawasan kampung mereka dan menyalurkan sumbangan sebagai seorang pemimpin masyarakat seperti yang beliau lakukan.
Program Sumbangan Kembali ke Sekolah 2025 Parlimen Titiwangsa yang diadakan pada hari ini merupakan sesi pertama untuk Zon Pandan dan seterusnya akan dilaksanakan di Zon Kampung Bharu dan Zon Keramat pada 15 dan 16 Februari 2025.
-AA-