Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Pengalaman Tinggal di Asrama Sekolah Mengajar Erti Berdikari, Menjadi Insan yang Kuat

By 18 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim/Suaidie Yusup (Sarawak)

SRI AMAN, 18 Feb (MalaysiaAktif) – Meninggalkan rumah pada usia 13 tahun bukanlah perkara mudah, lebih-lebih lagi apabila buat pertama kalinya berjauhan daripada keluarga tercinta.

Namun, ia adalah pengalaman yang akan mengajar seseorang tentang erti untuk lebih berdikari dan menjadi insan yang lebih tabah dan kuat.

Suaidie serta isteri tekun mendengar penerangan ringkas dari guru SMK Simanggang berkaitan peraturan di asrama.

yang dilalui sebahagian pelajar yang mendaftar sebagai pelajar asrama di SMK Simanggang.

Suaidie Yusup, 42, dan anak perempuannya, Nurafiqah Az Zahira, 13, melakar satu memori baharu buat mereka sekeluarga apabila Nurafiqah memulakan hari pertama persekolahannya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang.

Nurafiqah, anak keempat daripada lapan adik-beradik yang melangkah ke Tingkatan 1 mengaku sedih berpisah daripada ahli keluarganya yang lain.

Katanya, walaupun jarak sekolah dari rumah hanya belasan kilometer, namun ia terasa seolah-olah memisahkan beliau dengan keluarga di dua dunia yang berbeza.

“Dalam tempoh beberapa hari sebelum mendaftar saya mengakui menangis tanpa henti, malah mata masih membengkak kerana rindu yang tidak terbendung.

“Namun, perlahan-lahan saya sedar mereka mahu saya belajar berdikari dan menjadi insan yang lebih kuat, insya-Allah susah payah menjalani kehidupan di asrama nanti akan mengajar saya erti kesabaran dan ketabahan,” katanya ditemui semalam.

Nurafiqah yang turut ditemani ibunya mengisi borang kemasukan ke asrama.

Menurut Suaidie, sebagai bapa, beliau merasa sedikit gementar untuk melepaskan anaknya tinggal di asrama buat kali pertama.

“Ini adalah pengalaman baharu untuk kami sekeluarga, terutamanya Nurafiqah, namun kami yakin ini adalah langkah terbaik untuk masa depan pendidikannya,” katanya ketika ditemui di kawasan asrama sekolah.

SMK Simanggang merupakan antara sekolah menengah yang mempunyai kemudahan asrama lengkap di bahagian Sri Aman, Sarawak.

Pihak sekolah yang ditemui juga berharap lebih ramai pelajar akan dapat memanfaatkan peluang pembelajaran dan pengalaman hidup berdikari melalui kehidupan di asrama.

-ZS-

Tinggalkan komen anda