Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

Penggunaan Bahasa Murut Perkasa Penyampaian Maklumat Masyarakat Pedalaman

By 20 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlan Bakar/Yunis Amerull (Nabawan)

NABAWAN, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Penggunaan bahasa tempatan, terutamanya bahasa Murut, oleh Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Nabawan merupakan inisiatif untuk memastikan penyampaian maklumat yang lebih tepat dan berkesan kepada masyarakat pedalaman.

Sam menyampaikan maklumat  dalam bahasa Murut di Kg Kabagawong, Nabawandi sini semalam.

Pegawai Penerangan Daerah Nabawan, Sam Mansibu berkata pendekatan itu sesuai kerana kebanyakan penduduk di kawasan tersebut terdiri daripada etnik Murut, Tahol dan Paluan, sekali gus memudahkan mereka memahami maklumat yang disampaikan.

“Setiap kali sebelum melaksanakan Program ‘Info On Wheels’ (IOW), kami akan mengolah skrip dan naratif berkenaan dasar kerajaan serta isu semasa dalam bahasa Murut.

“Walaupun terjemahan dilakukan, isi maklumat yang disediakan dalam Bahasa Melayu oleh pihak jabatan tetap dikekalkan. Penyampaian ringkas dan tepat dalam bahasa Murut diharap dapat mengelakkan salah faham dalam memahami mesej yang disampaikan.

“Selain sesi IOW, ceramah ringkas dan sesi soal jawab bersama penduduk kampung turut diadakan menggunakan bahasa tempatan bagi memastikan masyarakat lebih selesa berinteraksi,” katanya ketika ditemui pada program di Kampung Kabangawong di sini, semalam.

Menurutnya lagi, usaha meningkatkan penerbitan bahan bacaan dalam bahasa tempatan perlu dipertimbangkan agar masyarakat luar bandar mendapat akses maklumat dengan lebih mudah.

“Keberagaman etnik dan bahasa di Sabah perlu diambil kira dalam usaha memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat dengan cepat dan tepat,” ujarnya.

Mazlan memberi penjelasan berkenaan isu Jenayah Siber kepada Abdul Rahim (kiri).

Bagi salah seorang penduduk Kampung Loboh, Abdul Rahim Rampang, 56, berkata pendekatan tersebut memberi manfaat besar kepada masyarakat luar bandar kerana maklumat disampaikan dengan lebih jelas dan mudah difahami

“Masyarakat di pedalaman, terutamanya golongan tua, lebih mudah memahami maklumat apabila ia disampaikan dalam bahasa yang kami gunakan setiap hari. Ini membantu mengelakkan salah tafsir terhadap dasar kerajaan dan inisiatif yang diperkenalkan.

“Selain itu, pendekatan ini juga membantu masyarakat berasa lebih yakin dan selesa untuk berinteraksi dengan pegawai penerangan ketika menerima maklumat,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda