
Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim / Berry Taimin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Pengubatan Islam merupakan pendekatan holistik yang menggabungkan rawatan fizikal dan rohani berasaskan ajaran Islam, bertujuan menjaga kesejahteraan manusia secara menyeluruh.
Kaedah ini bukan sahaja melibatkan penggunaan herba dan terapi tradisional, tetapi juga menekankan aspek rohani seperti doa, zikir, serta amalan pemakanan sihat untuk mencapai keseimbangan hidup.

Adam ketika ditemu bual semasa rakaman Program FYI kemarin.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan dan Informasi, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Adam Abdul Hai, berkata pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pelaksanaan temu duga Saringan Standard Pengukuhan Pematuhan Syariah (I-SYIFA’) bagi negeri Sabah dari 18 hingga 20 Februari 2025 di Kota Kinabalu.
“Semua pengamal perubatan tradisional dan komplementari perlu mendaftarkan jenis rawatan yang diberikan serta menjalani saringan yang ditetapkan.
Saringan ini penting bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775),” katanya dalam program FYI@JAPEN, di Masjid Negeri, di sini kemarin.

Maryam ketika ditemui selepas menjalani temu duga Saringan Standard Pengukuhan Pematuhan Syariah ( I-SYIFA’) bagi Negeri Sabah.
Seorang pengamal Pengubatan Islam, Maryam Madzlan, 31, berkata beliau menceburi bidang tersebut untuk membantu pesakit, khususnya wanita yang mengalami masalah kestabilan hormon, gangguan makhluk halus dan kerasukan.
“Biasanya saya akan merawat pesakit selepas mendapatkan rujukan daripada doktor terlebih dahulu. Jika tiada masalah kesihatan yang dikesan, barulah rawatan Pengubatan Islam diteruskan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Falius Yuroy, 47, menyokong usaha KKM dan JHEAINS dalam melaksanakan saringan I-SYIFA’.
“Program ini wajar diteruskan bagi memastikan pengamal perubatan alternatif mematuhi undang-undang serta syariat Islam. Selain itu, dinasihatkan masyarakat supaya mendapatkan pemeriksaan doktor terlebih dahulu sebelum memilih rawatan alternatif,” ujarnya.
-RJ-