Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Penjawat Awam Sambut Baik Bantuan Khas Kewangan

By 26 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: M. Anizan Mat Daud/M. Sukri Ismail

TUMPAT, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Penjawat awam di seluruh negara menyambut baik inisiatif kerajaan dalam menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Khidmat Awam (BKK) serta penambahbaikan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebagai langkah meningkatkan kesejahteraan dan motivasi golongan ini.

Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2025 yang disalurkan semalam kepada penjawat awam serta pesara kerajaan, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen membuktikan komitmen kerajaan dalam menghargai golongan ini yang merupakan tulang belakang perkhidmatan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lepas, mengumumkan pemberian BKK berjumlah RM500 kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak serta RM250 untuk pesara, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen.

Pembantu Khidmat Am, Siti Aishah.

Seorang penjawat awam Siti Aishah Che Amat, 31, meluahkan rasa syukur atas bantuan khas kewangan yang diumumkan, terutama menjelang bulan Ramadan.

“Bantuan ini sangat membantu kami dalam menguruskan perbelanjaan harian, khususnya untuk keperluan dapur.

“Selain itu, penjawat awam juga perlu bijak menguruskan kewangan keluarga dengan manfaat yang diberikan kerajaan, termasuk penambahbaikan SSPA yang diperkenalkan hujung tahun lalu,” katanya.

Bagi guru di Sekolah Rendah Kebangsaan Padang Mandol, di sini Shamsudin Mohamed, 54, usaha kerajaan dalam memperkasakan penjawat awam melalui pemberian elaun dan kenaikan gaji amat dihargai.

Guru Sekolah Kebangsaan Padang Mandol, Shamsudin Mohamed.

“Sejak saya berkhidmat, kepimpinan kali ini dilihat benar-benar prihatin terhadap kebajikan penjawat awam.

“Langkah ini memberi motivasi kepada kami untuk terus berkhidmat dengan lebih dedikasi,” ujarnya.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan penjawat awam, sekali gus memperkukuhkan sistem perkhidmatan awam negara.

-ZS-

Tinggalkan komen anda