
Laporan/foto: Abdul Waasiek Ahmad Fikri/Mohd Faizal Mat Akhir (Timur Laut)
JELUTONG, 22 Feb (MalaysiaAktif) – Bubur lambuk sudah menjadi sinonim dengan kehadiran bulan Ramadan setiap tahun bagi masyarakat Muslim di Malaysia.

Antara bubur lambuk yang dipertandingkan.
Sempena program Fit to Ramadan, Masjid Jamek Hashim Yahaya, Jalan Perak turut menganjurkan pertandingan memasak dan dekorasi bubur lambuk bagi menghidupkan tradisi ini supaya ia diteruskan oleh generasi muda.
Menurut Setiausaha Masjid Jamek Hashim Yahaya, Zamri Abdul Rahman, 47, pertandingan yang diadakan ini bertujuan untuk memberi kehangatan kepada semua penduduk setempat bagi menyambut Ramadan serta memberi peluang kepada anak-anak muda untuk mencuba resipi memasak bubur lambuk mengikut gaya dan dekorasi tersendiri.
Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut bulan Ramadan dan menjalani ibadah puasa pada 2 Mac ini.

Ahli Jawatankuasa masjid ketika ditemu bual wartawan Malaysia Aktif
“Memandangkan seminggu sahaja lagi kita akan menyambut bulan Ramadan, kami mengadakan pertandingan memasak bubur lambuk.
“Masjid ini akan mengedarkan sebanyak 650 bekas bubur lambuk kepada orang ramai sepanjang bulan Ramadan yang akan diberi selepas solat asar,” katanya kepada wartawan Malaysia Aktif, di sini hari ini.
Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Hashim Yahaya Azni Hussain, 51, berkata bubur lambuk di masjid ini memang terkenal bagi masyarakat di Pulau Pinang setiap kali bulan Ramadan menjelma.
“Setiap tahun masyarakat pelbagai kaum turut mendapatkan bubur lambuk yang diedarkan bukan masyarakat Melayu sahaja,” katanya.
-ZS-