
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Inisiatif Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) melalui Projek Integrasi Lembu dan Sawit telah membawa kejayaan, yang bukan sahaja memperkasa industri pertanian dan penternakan, malah membantu meningkatkan taraf ekonomi peserta, khususnya golongan E-Kasih yang memerlukan sokongan untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.

Beliau sedang membuat penyerahan dividen kepada peserta E-Kasih.
“Ini membuktikan bahawa program pembangunan ekonomi luar bandar yang dirancang dengan baik mampu memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat,” kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy berkata demikian sebelum menyampaikan dividen Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong kepada peserta E-Kasih di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini semalam.
Projek Integrasi Lembu dan Sawit bukan sahaja berjaya memberi pulangan kepada peserta melalui hasil sawit, tetapi juga melalui penternakan lembu yang dijalankan secara sistematik dan berdaya maju.

Beliau turut bergambar kenangan dengan jemputan dan penerima di akhir majlis.
Menteri Besar Pahang itu turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada PASFA kerana berjaya membayar dividen RM1,561 setiap seorang kepada 500 orang peserta dengan keseluruhan bayaran dividen berjumlah RM780,518.
“Saya yakin sudah pastinya pembayaran dividen ini menjadi lebih bermakna kerana kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadan dan kemudiannya disusuli perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Nasihat saya kepada peserta agar gunakanlah dividen ini dengan sebaik-baiknya dan jangan terlalu boros dalam berbelanja dan simpan sikit untuk kegunaan kecemasan,” katanya.
-ZS-