Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pesta Ayaq Bandar Baharu 2025 Meriah, Tarik Ribuan Pengunjung

By 25 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasmah Hanafi/Aidil Azhar (Bandar Baharu)

BANDAR BAHARU, 25 Feb (MalaysiaAktif) – Pesta Ayaq Bandar Baharu 2025 yang berlangsung di Pinggiran Sungai Bandar Baharu dari 20 hingga 23 Februari lalu berjaya menarik ribuan pengunjung dan menghidupkan suasana daerah ini dengan pelbagai aktiviti menarik.

Acara tahunan ini menampilkan pelbagai aktiviti seperti Auto Show dan Audio Show, persembahan api, pertandingan memancing udang galah, pertandingan memasak ikan darat, persembahan artis, pertandingan bot berhias, serta pertandingan sukan rakyat.

Bot hiasan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) bertemakan River Mermaid menjadi Johan Kategori Jabatan.

Menurut Pegawai Daerah Bandar Baharu Mohd Noor Ismail, pesta ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat, malah berperanan dalam meningkatkan ekonomi tempatan serta mempromosikan sektor pelancongan daerah.

“Penganjuran acara ini juga menyokong Tahun Melawat Kedah 2025 dan diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan dan ekonomi di daerah ini,” katanya ketika merasmikan majlis penutup pesta tersebut, di sini kelmarin.

Sementara itu, Noor Shuhaida Bideng, pemenang pertandingan bot berhias, meluahkan rasa tidak menyangka apabila diumumkan sebagai juara.

Menurutnya, pesta ini bukan sahaja memberi pengalaman bermakna kepada peserta tetapi juga membantu peniaga kecil memperoleh pendapatan tambahan melalui kehadiran pengunjung yang ramai.

Mohd Noor Ismail (berdiri di tengah) bersama tetamu jemputan yang hadir di majlis perasmian.

Nor Hayati Yakop, 58, turut berkongsi pandangannya bahawa Pesta Ayaq Bandar Baharu telah menghidupkan suasana daerah ini dan menjadikannya lebih dikenali.

“Pesta ini telah menarik ribuan pengunjung, menjadikan Bandar Baharu lebih meriah dan tidak sunyi.

“Secara tidak langsung, ia turut mempromosikan daerah ini kepada pelancong luar,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda