
Laporan/foto: Azmi Abd Rahman/Mohd Fauzan Mahari
PASIR PUTEH, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Pos Malaysia Berhas terus melangkah seiring dengan perubahan zaman melalui inisiatif baharu yang menggabungkan perkhidmatan tradisional pejabat pos dengan konsep peruncitan dan kafe menerusi pembukaan Pos Shop.
Pos Shop Pasir Puteh, yang merupakan cawangan pertama seumpamanya di Kelantan, diwujudkan untuk memberi pengalaman lebih selesa kepada pelanggan.

Pos Shop Pasir Puteh menawarkan kafe yan mesra pelanggan dan ruang runcit yang selesa.
Kini, sambil menunggu urusan di pejabat pos selesai, pelanggan boleh membeli pelbagai barangan keperluan harian di kedai runcit yang disediakan atau menikmati hidangan di ruangan kafe yang menawarkan suasana santai dan moden.
Menurut Pembantu Jualan Pos Shop Pasir Puteh Rohayah Hassan, kewujudan Pos Shop bukan sahaja memperluaskan perkhidmatan Pos Malaysia kepada masyarakat setempat, malah menjadikannya lokasi yang lebih mesra pelanggan serta berpotensi menjana pendapatan tambahan bagi syarikat.
“Kami berharap pelanggan berpuas hati dengan kemudahan baharu ini.
“Mereka kini boleh mendapatkan barangan keperluan harian seperti di kedai runcit biasa, selain menikmati suasana kafe yang berkonsepkan hipster, sesuai dengan cita rasa golongan muda,” katanya semalam.

Antara makanan yang dijual di kafe Pos Shop Pasir Puteh.
Menurutnya, Pos Shop dibuka seawal pukul 8.00 pagi hingga 10.00 malam, memberikan fleksibiliti kepada masyarakat untuk mendapatkan barangan keperluan mereka.
“Inisiatif ini membuktikan komitmen Pos Malaysia dalam meningkatkan pengalaman pelanggan serta terus relevan dalam industri perkhidmatan dan logistik, sekali gus memberikan kelebihan berbanding penyedia perkhidmatan kurier lain,” katanya.
-ZS-