
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Tawau)
TAWAU, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 36 kanak-kanak berusia antara lapan hingga 12 tahun menyertai program berkhatan beramai-ramai secara percuma yang dianjurkan oleh Masjid Al Hidayah, Kampung Batu 4, Tawau.

Nizam menyempurnakan gimik perasmian dengan menyiram peserta berkhatan kemarin.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program ini diadakan bagi memastikan kemaslahatan masyarakat, terutamanya penduduk di kampung tersebut terpelihara.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak masjid yang telah bekerjasama dalam memudahkan urusan berkhatan serta membantu mengurangkan kos bagi setiap peserta.
“Program berkhatan beramai-ramai ini lebih menarik kerana ia dapat mengurangkan rasa gemuruh di kalangan anak-anak,” katanya ketika merasmikan program tersebut di sini pada Ahad.
Nizam menambah, program ini merupakan aktiviti tahunan di masjid tersebut yang memberi keutamaan kepada anak-anak kariah.
“Kami juga mendapatkan kerjasama seorang pegawai kesihatan bertauliah untuk melaksanakan proses berkhatan ini dan semua kos ditanggung sepenuhnya,” ujarnya.

Nizam menyampaikan saguhati kepada peserta berkhatan.
Sebagai tanda penghargaan, Nizam turut memberikan sumbangan wang saguhati kepada para peserta berkhatan bagi menampung keperluan lain anak-anak yang terlibat.
-RJ-