Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Program Jiwa@Komuniti Madani, Fokus Tangani Isu Penipuan Pekerjaan

By 27 Februari 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sharifah Fairuz Mohd Tahir/Hairil Mohd Tazim (Kinabatangan)

KINABATANGAN, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Masyarakat masih lagi perlu diberi pendedahan terhadap jenayah penipuan pekerjaan yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latarbelakang mangsa.

Justeru Program Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai Daerah Kinabatangan telah dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap risiko serta langkah pencegahan menjadi mangsa tawaran pekerjaan palsu.

Pemangku Pegawai Penerangan Daerah Kinabatangan, Sharifah Fairuz Mohd Tahir berkata, program tersebut fokus kepada isu sindiket penipuan tawaran pekerjaan dan keldai dadah serta

“Program ini dianjurkan juga sebagai peringatan kepada masyarakat untuk lebih berhati-hati dalam membuat keputusan, terutama mengenai tawaran pekerjaan yang mencurigakan sementara sentiasa semak latar belakang syarikat atau individu yang menawarkan pekerjaan tersebut.

Pemandu pelancong memberi taklimat ketika lawatan lawatan ke tapak konservasi hutan.

“Salah satu isu yang amat membimbangkan kita adalah sindiket penipuan tawaran pekerjaan. Banyak individu terpedaya dengan tawaran pekerjaan yang tidak wujud terutamanya yang kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan.

“Silap langkah akhirnya membawa mereka kepada keadaan yang lebih buruk, termasuk menjadi mangsa eksploitasi,” katanya ketika menyampaikan taklimat dalam program tersebut di Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh (KOPEL), Kampung Batu Puteh, di sini kemarin.

Dalam pada itu, beliau berharap program yang dianjurkan dapat menjadi pendorong dan semangat baru kepada komuniti untuk bekerjasama dengan lebih padu dalam menjayakan pelbagai program pada masa akan datang.

“Semoga pengalaman berharga ini akan menjadi kenangan manis bagi enam komuniti Madani di Kinabatangan ini dan saya berharap peserta dapat suntikan semangat yang baru dan energi untuk bersedia bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan program-program yang akan datang,” ujarnya.

Sementara itu pengurus program, Mazlin Mazin, 53, percaya, isu penipuan pekerjaan perlu sentiasa diberikan penekanan kepada komuniti terutama melibatkan modus operandi terkini jenayah tersebut yang berubah-ubah.

“Program ini juga memberi peluang kepada kami untuk bertukar-tukar pendapat dan mempereratkan lagi hubungan antara komuniti dengan kerajaan dalam usaha membanteras isu penipuan kerja ini, dan lokasi program ini juga sesuai, menenangkan serta dikelilingi suasana alam semulajadi,” katanya.

Para peserta menaiki bot, menyusuri Sungai Kinabatangan yang kaya dengan keindahan alam menikmati pemandangan flora dan fauna yang unik.

Berkongsi sejarah KOPEL Kinabatangan, Pengurusnya Abd Sanih Nasri berkata, lokasi pelancongan tersebut pernah dinobatkan sebagai Perkampungan Pelancongan Terbaik Dunia semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNWTO) di Madrid, Sepanyol pada tahun 2021.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Pejabat Penerangan Daerah Kinabatangan kerana berjaya membawa ahli-ahli komuniti Madani melawat KOPEL Kinabatangan, sesungguhnya anda semua telah membuat pilihan yang tepat dengan berkunjung ke sini dan dapat merasai sendiri keindahan flora dan fauna selain sejarahnya yang amat bernilai,” katanya.

Untuk makluman, program berkenaan melibatkan penyertaan seramai 60 ahli komuniti daripada Komuniti Madani Pekan Bukit Garam, Kota Kinabatangan, Nusa Jaya, Sukau, Batu Puteh@Paris, dan Suan Lamba.

Sepanjang program, ahli komuniti berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti menaiki bot di Sungai Kinabatangan, lawatan ke muzium, penginapan di Tungog Rainforest Eco Camp dan lawatan ke tapak konservasi hutan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda