Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Program Jom Kembali ke Sekolah Ringankan Beban Ibu Bapa

By 23 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

TANAH MERAH, 23 Feb (MalaysiaAktif) – Program Jom Kembali ke Sekolah 2025 yang berlangsung di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mahmud Paduka Raja (1), di sini semalam berjaya menarik kehadiran hampir 600 ibu bapa bersama anak-anak bagi menerima sumbangan peralatan dan pakaian sekolah.

Program anjuran Yayasan Taqwa, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Majlis Gabungan Belia Negeri Kelantan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah ini bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka.

Dr. Johari ketika berucap.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr. Zulkifli Hassan, kerajaan Madani komited dalam memastikan semua lapisan masyarakat, terutamanya pelajar sekolah, mendapat kelengkapan yang mencukupi bagi menjamin keselesaan mereka dalam sesi pembelajaran.

“Sesi persekolahan yang dimulakan dengan kelengkapan yang baik bukan sahaja membantu meringankan beban ibu bapa, malah dapat meningkatkan minat pelajar untuk belajar.

“Pelbagai bantuan telah disediakan oleh kerajaan bagi tujuan ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jom Kembali ke Sekolah 2025.

Dr. Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr. Johari Abdullah @ Yap Guan Kheng.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Mohd Zaidi Mohd Zin menekankan kepentingan peranan ibu bapa dalam membentuk masa depan anak-anak dengan memberi kerjasama kepada pihak sekolah.

Kehadiran orang ramai di Dewan Terbuka SMK Dato’ Mahmud Paduka Raja (1) Tanah Merah.

“Saya menyeru ibu bapa dan penjaga untuk memberi kepercayaan kepada pihak sekolah dalam mendidik anak-anak agar mereka menjadi generasi pelajar yang berfikiran maju,” katanya dalam ucapan aluannya.

Seorang penerima sumbangan Roshimah Mohd Noor, 43, dari Taman Kayangan, Tanah Merah, melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan, yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban perbelanjaan keluarganya.

“Saya amat terharu dan berterima kasih kepada pihak kerajaan atas sumbangan ini.

“Tiga orang anak saya yang masih bersekolah semuanya menerima bantuan ini, alhamdulillah,” katanya dengan penuh kegembiraan.

Pada majlis tersebut, setiap pelajar menerima kelengkapan dan pakaian sekolah bernilai RM175.

Turut hadir Penolong Pengarah Kanan YADIM Kelantan Yusnita Muhamed Yusuf serta Pengetua SMK Dato’ Mahmud Paduka Raja (1) bersama para ibu bapa dan pelajar.

-ZS-

Tinggalkan komen anda