
Laporan/foto: Jaimis Kunjan/Leonard Desmond (Tambunan)
TAMBUNAN, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Program Sesi Libat Urus dan Pembelajaran Komuniti MADANI bersama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) diperkenalkan untuk merapatkan jurang digital dan mengukuhkan penglibatan masyarakat dalam pembangunan teknologi dan sosioekonomi.
Program ini bertujuan untuk memperkasa kefahaman mengenai dasar-dasar kerajaan, memperkukuh pembangunan sosioekonomi serta meningkatkan penglibatan komuniti dalam memanfaatkan teknologi digital untuk kesejahteraan bersama.

Jaimes ketika memberikan taklimat kepada peserta program NADI x Komuniti MADANI.
Pegawai Penerangan Daerah Tambunan, Jaimis Kunjan, menyatakan antara fungsi utama NADI yang diketengahkan dalam program ini adalah menyediakan akses internet dan teknologi digital bagi memperkasakan komuniti luar bandar dan bandar.
“NADI juga berfungsi sebagai pusat pendidikan serta latihan untuk meningkatkan kemahiran digital dan keusahawanan, di samping menjadi saluran penyebaran maklumat rasmi kerajaan mengenai inisiatif seperti PADU, Manfaat MADANI, dan BUDI MADANI.
“Program ini juga memberikan peluang kepada masyarakat untuk berkongsi pendapat, mengenal pasti isu setempat dan mendapatkan maklumat tentang inisiatif kerajaan yang dapat dimanfaatkan untuk pembangunan komuniti,”katanya ketika ditemui dalam program NADI x Komuniti MADANI di Nadi Kampung Toboh di sini semalam.
Sementara itu, Pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pejabat Keningau, Firdaus Jakaria, turut menyampaikan pandangannya mengenai kepentingan program ini dalam memperkasakan komuniti.

Firdaus (dua dari kiri belakang), Jaimes (tiga dari kiri belakang) bergambar bersama peserta dari Komuniti MADANI Babagon, Komuniti MADANI Lintuhun dan Komuniti MADANI Tikolod, Tambunan.
“Program ini adalah satu platform yang penting untuk menyampaikan maklumat berguna serta meningkatkan kesedaran digital dalam kalangan masyarakat. Inisiatif seperti ini bukan sahaja memupuk kefahaman mengenai dasar kerajaan, tetapi juga memperkasakan komuniti untuk memanfaatkan teknologi dalam kehidupan seharian mereka.
“Selain itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua peserta, sekali gus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan komuniti dan penggunaan teknologi secara bijak,”ujarnya.
Untuk makluman, program ini turut melibatkan seramai 10 orang peserta dari Komuniti MADANI Babagon, Komuniti MADANI Lintuhan, dan Komuniti MADANI Tikolod, Tambunan.
-RJ-