Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Program Penandaan Ikan Arapaima di Zoo Rimba Razia Tangani Ancaman Ikan Asing

By 24 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini Aziz/Shuhaimi Ahmad

HULU TERENGGANU, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Zoo Rimba Razia hari ini menjadi lokasi bagi program penandaan ikan arapaima di mana cip Passive Integrated Transponder (PIT) dimasukkan ke dalam badan ikan tersebut oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu sebagai langkah penting untuk mengawal penyebaran ikan larangan import yang berpotensi memberi kesan buruk kepada ekosistem perairan negara.

Petugas menjinakkan ikan arapaima sebelum melakukan penandaan PIT pada ikan tersebut.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat, menjelaskan bahawa ikan seperti arapaima dan baung ekor merah mampu merosakkan ekosistem sungai dan tasik tempatan kerana spesies ini bukan berasal dari kawasan tersebut menyebabkan mereka bersaing dengan spesies tempatan untuk sumber makanan dan ruang hidup yang sama.

“Selain itu, spesies ini boleh mengurangkan sumber ikan asli yang menjadi pendapatan utama nelayan.

“Arapaima, yang tersenarai antara 195 spesies ikan larangan import, mendapat perhatian kerana saiznya yang besar dan menjadi kebimbangan apabila ia kini dijumpai di luar habitat asalnya,” katanya.

Ruzaidi Mamat (kanan) dan pemilik Zoo Rimba Razia Datuk Seri Zakaria Abdul Razak, melihat ikan Arapaima yang telah diberikan penandaan PIT.

Menurutnya lagi, program penandaan ikan ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya pemeliharaan biodiversiti tempatan dan usaha menangani ancaman ikan asing.

“Jabatan Perikanan menyeru orang awam terutamanya nelayan darat dan pemancing untuk segera melaporkan penemuan ikan asing ini melalui talian Fishcom di 03-8888 5019 atau 03-8870 4058,” katanya ketika ditemu bual semasa sidang media, di sini hari ini.

Zoo Rimba Razia yang telah mendapat Sijil Kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan, kini memelihara dan mempamerkan dua ekor ikan arapaima dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda