
Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther/Unit Pengurusan Bencana Pulau Pinang
GEORGE TOWN, 19 Feb (MalaysiaAktif) – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pulau Pinang komited memperkukuh kesiapsiagaan sekretariat dan agensi tindak balas menerusi penganjuran Bengkel Pengoperasian Pengurusan Bencana Siri Satu Tahun 2025.

Taklimat penggunaan Arahan NADMA No. 1 menggantikan Arahan MKN 2.0 dalam pengurusan bencana disampaikan oleh pegawai NADMA.
Bengkel tahunan anjuran Unit Bencana, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ini bertujuan memastikan setiap agensi memahami peranan mereka selaras dengan Arahan NADMA No.1 yang menggantikan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2.0 sejak 3 Oktober lalu.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pengurusan) Datuk Abdul Kahar Abdullah, menegaskan bahawa kejayaan sesuatu operasi bencana bergantung kepada koordinasi yang cekap dan pantas.
“Bengkel ini menyediakan platform strategik bagi memperkukuh keupayaan agensi berkaitan dalam mengendalikan bencana, khususnya di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK),” katanya ketika merasmikan program tersebut, di sini semalam.

Sesi Tabletop Excercise (TTX) dijalankan bagi mengenal pasti aspek yang perlu dibaiki sebelum menghadapi situasi bencana yang sebenar.
Sementara itu, pegawai dari Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah Muhammad Hafizuddin Mohd Ridowan, 35, menyambut baik inisiatif ini dan menyifatkannya sebagai langkah proaktif.
“Kesiapsiagaan terhadap bencana memerlukan kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan di peringkat pusat, negeri, daerah serta melibatkan pihak swasta, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan komuniti setempat,” ujarnya.
Bengkel sehari ini menghimpunkan kira-kira 80 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan serta agensi seluruh Pulau Pinang bagi memperkukuh sinergi dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
-ZS-