Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Pulut Panggang Warisan Sibu

By 27 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Mohamad Norhasmin Mohd Nor (Sarawak)

SIBU, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Menjelang bulan Ramadan dan apabila bertandang ke Sibu, adalah satu kemestian untuk warga Sibu mahupun warga luar untuk singgah membeli Pulut Panggang sebagai salah satu hidangan untuk berbuka puasa.

Pulut Panggang Sibu boleh didapati di kedai kopi dan gerai-gerai kuih sepanjang jalan di kawasan Kampung Datu, Kampung Hilir, Kampung Nangka dan Jalan Bandong dengan harga yang berpatutan.

Pulut dipanggang menggunakan arang sesuai dicicah dengan kari ayam, kaya ataupun makan kosong begitu saja.

Pulut panggang merupakan salah satu daripada makanan popular di Sibu, selain mi kampua, kuih penyaram, kompia, kek lapis dan Laksa Sarawak termasuk Pulut Panggang Sibo Kak Yam Noor.

Pulut Panggang Sibo Kak Yam Noor yang terletak di Kampung Hilir adalah merupakan gerai Pulut Panggang yang popular di Sibu dan pulut Panggang ini dijual pada harga RM1.20 bagi yang kosong manakala RM1.50 bagi yang bersambal.

Pulut Panggang mula dijual seawal jam 7.30 pagi hingga 11.00 pagi dan mampu terjual sehingga 1000-1200 biji sehari.

Menurut peniaga, Atiqah Ismail, 22, perniagaan yang diusahakannya itu merupakan perniagaan keluarga dan beliau merupakan generasi keempat yang memajukan perniagaan tersebut.

“Antara faktor yang menjadikan pulut panggang Sibu lebih menarik adalah kerana kuih berkenaan dibakar menggunakan arang dan hidangan pulut panggang ini turut mendapat tempahan tinggi lebih-lebih lagi ketika musim perayaan kerana pulut ini sesuai dimakan tidak kira waktu,” ujar beliau semalam.

Nurul Atiqah pembantu jualan di Gerai Pulut Panggang Kak Yam Noor Sibu menanti pembeli yang telah menempah awal pembelian pulut panggang.

Pulut panggang dihasilkan daripada beras pulut, garam dan santan dan Beras pulut akan dimasak terlebih dahulu sebelum dibalut dengan daun pisang.

Pulut yang telah siap dibalut itu kemudiannya akan dipanggang dengan arang buat seketika, sebelum ia dihidang dan dijamu.

Keunikan Pulut Panggang Sibu adalah ia tidak mempunyai inti atau kosong di bahagian dalamnya dan disebabkan ketiadaan inti inilah membuatkan haruman aroma santan dan pulut yang telah dipanggang itu cukup memukau dan rasa lemak pulutnya pula pasti akan membuatkan kita teringat dengan pulut panggang Sibu.

Rata-rata penduduk di Sarawak suka menikmati hidangan Pulut Panggang kosong dengan cara mencicah bersama kuah seperti kari, susu pekat manis dan Seri Kaya di dalam tin.

-RJ-

Tinggalkan komen anda