
Laporan/Foto : Mathilda Sempon / Mohamad Nazeri (Sarawak)
TATAU, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Lebih 500 orang warga Tatau telah hadir di gelanggang bola keranjang SJK (C) Chung Hua Tatau di sini untuk menyemak kelayakan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) serta mendaftarkan akaun Sarawak ID dan E-Dompet S Pay Global bagi permohonan baharu SKAS 2025.

Kemau Renggau (kiri) ketika membuat semakan kelayakan SKAS
Program yang berlangsung selama tiga hari iaitu bermula dari 25 hingga 27 Februari memberi peluang dan manfaat kepada orang ramai terutamanya warga emas yang kurang mahir dalam penggunaan telefon mudah alih untuk mendaftar.
Menurut seorang penerima SKAS, Kemau Renggau, 87, walaupun penggunaan aplikasi S Pay Global agak sukar untuk digunakan oleh golongan warga emas namun segala urusan pembelian barangan keperluan menggunakan aplikasi tersebut akan diuruskan oleh anaknya.
“Menggunakan aplikasi merupakan cabaran yang agak besar kepada kami warga emas dan saya hanya menggunakan aplikasi ini untuk membeli keperluan asas ketika ditemani oleh anak sahaja,” katanya ditemui semalam.

Dickson Pedas (kanan) ketika ditemu bual di sini semalam.
Sementara itu, bagi Ketua Kaum Dickson Pedas, 69, menyatakan keterujaannya setelah membuat semakan kelayakan di kaunter pendaftaran yang telah disediakan.
“Dengan inisiatif baharu ini, diharapkan orang ramai dapat memanfaatkan bantuan SKAS dengan sebaiknya seperti membeli keperluan dapur dan keperluan harian.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana telah memberikan bantuan seperti ini dan berharap bantuan ini dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang,” ujarnya.
-RJ-