
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 14 Feb (Malaysiaaktif) – Sejumlah RM6.8 juta akan dibelanjakan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi menyelesaikan isu tekanan air rendah di Taman Selayang Baru.
Peruntukan berkenaan menerusi Program Penukaran Paip sepanjang 6.8 kilometer dijangka siap pada 2026.

Anfaal memaklumkan Air Selangor akan melaksanakan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang untuk atasi isu tekanan air rendah di Taman Selayang Baru.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer Anfaal Saari, berkata pihaknya menerima aduan berkaitan isu tersebut sejak tahun lalu.
“Perumahan ini mempunyai 800 kediaman namun yang terjejas adalah 300 buah rumah jenis banglo dan semi-D.
“Ia disebabkan beberapa faktor seperti bentuk muka bumi berbukit dan paip lama berusia lebih 30 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Taman Selayang Baru, di sini hari ini.
Turut hadir Penolong Naib Presiden 1 Air Selangor Ir. Zahlan Sulaiman dan Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Ahmad Zahiri Zahid Sofian.

Sebanyak 300 rumah di Taman Selayang Baru terjejas akibat masalah tekanan air rendah.
Anfaal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, berkata bagi jangka pendek pihak Air Selangor akan melaksanakan tapping air dari sumber baharu di Bandar Baru Selayang untuk meningkatkan kelajuan.
“Penyelesaian jangka pendek akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Saya juga akan menghantar surat kepada Air Selangor agar memberi keutamaan selesaikan isu ini,” ujarnya.
-ZS-