
Laporan/foto: Siti Noor Ain Mohd Zain/Halimah Abdul Ghani (Timur Laut)
SERI DELIMA, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Lebih 200 penduduk pelbagai kaum memeriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Seri Delima yang berlangsung di Taman Kejiranan Karpal Singh, di sini semalam.

Ucapan perasmian oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor.
Program anjuran komuniti setempat ini bukan sekadar meraikan perayaan tradisi masyarakat Cina, tetapi juga menjadi platform mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Ketua Komuniti MADANI Greenlane Teh Cun Kai, meluahkan rasa bangga melihat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.
“Gembira lihat pelbagai kaum yang turut serta dalam program ini yang menonjolkan semangat toleransi dan keharmonian dalam komuniti,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima Connie Tan Hooi Peng pula menegaskan kepentingan perpaduan sebagai asas utama keharmonian negara.
“Meskipun kita berbeza agama, budaya dan tradisi, namun perpaduan adalah kunci kepada kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.

Ramkarpal Singh bersama tetamu jemputan dalam acara menggaul yee sang.
“Semangat inilah yang harus kita pelihara, khususnya di Seri Delima,” ujarnya.
Majlis dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan Tarian Singa, upacara menggaul yee sang, permainan tradisional serta cabutan bertuah.
Acara disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, yang turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk setempat.
-ZS-