Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Sambutan Tahun Baru Cina – Raikan Kepelbagaian, Eratkan Perpaduan Masyarakat Malaysia

By 9 Februari 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Idham Abd Hamid / Azri Zainal Abidin

KUALA LUMPUR, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Tahun Baharu Cina merupakan simbol perpaduan dan kekuatan dalam kepelbagaian di negara ini.

“Kita sebagai rakyat Malaysia juga hendaklah bersama-sama meraikan semangat perpaduan serta menanamkan nilai saling menghormati,” kata Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun.

Fong Kui Lun berkata demikian ketika ditemui di  Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Malaysia Madani 2025 di Perkarangan Perumahan Awam (PA) Jalan Hang Tuah, di sini hari ini.

Acara tradisi mengaul Yee Sang oleh para tetamu kehormat.

“Sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya kita mesti menghindari naratif yang memecahbelahkan rakyat kerana perpaduan adalah kunci kestabilan dan kejayaan negara.

“Semoga perayaan tahun ular ini akan mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan dan dapat membawa kebahagiaan yang melimpah, rezeki yang bertambah dan kejayaan kepada semua,” katanya.

Kemeriahan dirasai dengan kehadiran 250 orang yang terdiri daripada penduduk setempat Perumahan Awam Jalan Hang Tuah yang hadir memberikan sokongan.

Majlis ini merupakan anjuran bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Persatuan PendudukPerumahan Awam Jalan Hang Tuah Kuala Lumpur, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Bukit Bintang dan Komuniti MADANI Bukit Bintang Zon 3.

Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Jalan Hang Tuah Mohd. Ismail Abdullah, 61, berkata majoriti penduduk di sini merupakan bangsa Melayu dan Cina yang dapat hidup secara harmoni walaupun perumahan ini terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

“Kami merancang majlis ini dalam waktu yang singkat tetapi dengan kerjasama daripada semua jawatankuasa yang telah dilantik, majlis dapat dijalankan dengan baik dan teratur seperti yang dirancang.

“Saya mengharapkan akan ada lagi program-program sebegini untuk memastikan penduduk di sini sentiasa mengenali antara satu sama lain dan dapat mengeratkan hubungan yang sedia terjalin,” katanya ketika ditemu bual Malaysia Aktif.

Penduduk Perumahan Awam Jalan Hang Tuah Packiam Engudu, 70, berkata majlis ini perlu kerap diadakan terutamanya ketika musim perayaan untuk mewujudkan kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat.

Tetamu kehormat bergambar kenangan sempena majlis Tahun Baru Cina 2025.

“MelaluimMajlis ini, kita dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk kerana walaupun hidup berjiran tetapi tidak kerap berjumpa kerana kesibukan masing-masing,” katanya.

Sementara itu,seorang lagi penduduk Perumahan Awam Jalan Hang Tuah Suriati Jainari, 40, memaklumkan bahawa perumahan ini sentiasa mengadakan sambutan setiap perayaan berbilang bangsa dan agama untuk mewujudkan keharmonian dalam kalangan penduduk di sini.

“Kehadiran pelbagai kaum yang bersama-sama menyambut perayaan seperti ini bukan sahaja mencerminkan perpaduan malah menunjukkan bahawa kita boleh bekerjasama dan hidup harmoni walaupun berbeza budaya dan agama,” katan

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan acara tarian singa, tradisi mengaul Yee Sang dan majlis jamuan makan tengah hari. Turut hadir adalah Ketua Komuniti MADANI Bukit Bintang Zon 3, Parlimen Bukit Bintang merangkap Pengerusi MPP Sub Zon 3, Parlimen Bukit Bintang iaitu Lee Bing Hong.

Tinggalkan komen anda