
Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Sebanyak 2,800 anak pokok pisang tanduk telah berjaya ditanam oleh Komuniti MADANI Tanjung Sembrong di tanah lapang berkeluasan empat ekar dengan bantuan geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bernilai RM100,000.

Mohamad Rosli bersama ahli-ahli jawatankuasa Komuniti MADANI Tanjung Sembrong yang turut menjayakan projek SejaTi MADANI tanaman pokok pisang.
Ketua Komuniti MADANI Tanjung Sembrong Mohamad Rosli Sohot, berkata terdapat dua jenis benih pisang tanduk yang diusahakan dalam projek penanaman pisang ini iaitu benih pisang tanduk tisu dan benih pisang tanduk sulur.
“Harga setiap anak benih pisang ini bernilai RM3.20 sepokok dan setakat ini sebanyak RM50,000 telah dibelanjakan termasuk pembelian jentera dan mesin untuk penanaman dan penyiraman pokok.
“Dengan adanya geran SejaTi MADANI ini dapatlah komuniti di kawasan Kampung Seri Mendapat, Kampung Seri Gunung, Kampung Haji Ghaffar, Kampung Parit Haji Talib dan Tanjung Sembrong ini bersama-sama menambahkan pendapatan,“ katanya ketika ditemui di Kampung Seri Mendapat, di sini semalam.
Tambah Mohamad Rosli, apa yang dirisaukan adalah ancaman daripada haiwan perosak dari hutan berhampiran seperti monyet dan babi hutan.

Mohamad Rosli menunjukkan anak benih pisang tanduk jenis tisu yang sudah berjaya ditanam.
“Sebab itu saya berharap agar ahli-ahli komuniti yang lain dapat sama-sama menjaga tanaman ini daripada ancaman musuh utama tanaman dan mudahan dapat kita tuai hasilnya sekitar bulan September pada tahun ini,” katanya.
Mohamad Rosli juga amat berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan geran SejaTi MADANI dan berharap agar bantuan geran ini diteruskan pada masa akan datang.
-ZS-